Murray Hunter mohon maaf terbuka kepada SKMM

Murray Hunter mohon maaf terbuka kepada SKMM

Penganalisis politik itu juga menarik balik siri artikel disifatkan SKMM palsu dan memfitnah.

Murray Hunter
Penganalisis politik Murray Hunter dikenali menerusi tulisan kritikalnya mengenai politik Malaysia. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penganalisis politik Murray Hunter memohon maaf secara terbuka dan menarik balik siri artikel mengenai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dalam kenyataan diterbitkan buletin Substack miliknya hari ini, Hunter berkata permohonan maaf dan penarikan balik itu sebahagian daripada perjanjian penyelesaian dengan pengawal selia internet negara berkenaan.

“Saya mengakui komen dan artikel saya mengenai SKMM dan pihak berkaitan dengannya boleh ditafsirkan sebagai tidak tepat, mengelirukan, dan menjurus salah faham.

“Justeru, saya memohon maaf dan menyesal sekiranya tindakan sedemikian menyebabkan apa jua kerosakan kepada SKMM dan/atau pihak-pihak yang berkaitan, dan saya dengan ini menarik balik sepenuhnya semua komen dan artikel tersebut secara menyeluruh,” katanya.

Penarikan balik itu merangkumi beberapa artikel diterbitkan antara April dan November 2024 di laman Substack miliknya serta platform lain yang dianggap sebagai palsu dan memfitnah SKMM.

SKMM membuat laporan polis di Malaysia dan Thailand berhubung penerbitan tersebut, sambil mendakwa ia mengandungi tuduhan serius dan tidak berasas yang mengelirukan orang awam serta merosakkan reputasi suruhanjaya itu.

Pada 16 Okt 2025, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan Hunter bertanggungjawab atas fitnah dalam satu saman sivil dikemukakan SKMM.

Beberapa minggu sebelumnya, Hunter telah ditahan pihak berkuasa Thailand ketika beliau sedang bersiap meninggalkan negara itu bagi satu perjalanan peribadi ke Hong Kong.

Warga Australia itu, yang lama berada di Malaysia kini menetap di Thailand. Beliau dikenali melalui tulisan kritikalnya mengenai politik Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.