
Kumpulan itu berkata usaha wajar ke atas persetujuan yang diperolehi dan tawaran menjadi pengantara yang disebut baru-baru ini oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming hanyalah bersifat pemulihan dan bukannya pencegahan.
“Langkah pemulihan tidak membantu penduduk untuk mempunyai suara dalam menentukan jenis pembangunan semula yang sesuai untuk mereka dan pilihan untuk membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Ia juga tidak menyelesaikan taktik yang dipersoalkan ketika ini, di mana penduduk dipaksa dan ditekan untuk memberi persetujuan atau dipujuk menyokong pembangunan tanpa maklumat penting dimaklumkan.”
KLRA+SD berkata jaminan Nga bahawa kerajaan akan memantau bagaimana persetujuan diperoleh dan menawarkan untuk menjadi pengantara juga tidak memadai.
“Jaminan lisan mempunyai tahap kebolehpercayaan yang terhad dan tertakluk kepada tafsiran serta boleh berubah bergantung kepada siapa yang memegang jawatan menteri itu nanti,” katanya.
Sehubungan itu, KLRA+SD menggesa supaya rangka kerja pembaharuan semula bandar dalam rang undang-undang tersebut dikongsi secara terbuka, membolehkan penduduk serta wakil rakyat memberi pandangan sebelum ia dibahaskan di Parlimen.
“Ini akan membolehkan suara rakyat sampai ke Parlimen dan wacana lebih menyeluruh mengenai rang undang-undang itu,” katanya.
Perbahasan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar 2025 (RUU PSB) yang kontroversi itu ditangguhkan ke mesyuarat Dewan Rakyat pada Oktober, selepas menerima tentangan kuat daripada pembangkang serta sebahagian blok kerajaan termasuk tujuh Ahli Parlimen PKR dan Barisan Nasional.
RUU itu memperincikan tiga jenis projek – pembangunan semula melibatkan meroboh dan membina semula projek perumahan; penjanaan semula melibatkan pembaikan atau naik taraf bangunan usang atau terbengkalai; manakala penyegaran semula merujuk kepada menaik taraf atau memperbaiki sesuatu kawasan tanpa merobohkannya.
Ia juga mencadangkan sistem persetujuan berperingkat: 80% bagi bangunan bawah 30 tahun, 75% untuk bangunan berusia lebih 30 tahun, dan 51% bagi bangunan yang terbengkalai atau tidak selamat.
Sementara itu, penduduk Taman Usahawan Kuchai turut menyuarakan kebimbangan berhubung ketiadaan tribunal neutral untuk mengendalikan rayuan.
Mereka berkata saluran sedia ada seperti Mahkamah Tinggi, Pesuruhjaya Bangunan, atau Tribunal Pengurusan Strata dilihat mahal, rumit dan tidak memadai.
Penduduk itu menggesa kerajaan menubuhkan tribunal khusus dan menangguhkan RUU tersebut sehingga perlindungan bagi kumpulan rentan termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta keluarga berpendapatan rendah dimasukkan ke dalam undang-undang.