Budak lelaki laku rogol statutori dihadap ke Mahkamah Kanak-kanak, kata Suhakam

Budak lelaki laku rogol statutori dihadap ke Mahkamah Kanak-kanak, kata Suhakam

Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak berkata pelaku tidak dihukum seperti pesalah dewasa, namun perlu bertanggungjawab dan diberi pemulihan.

Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak di bawah Suhakam berkata, Akta Kanak-kanak 2001 benar mahkamah keluar perintah pelaku bawah umur diletakkan di bawah institusi seperti Sekolah Henry Gurney.
PETALING JAYA:
Kanak-kanak lelaki berusia bawah 18 tahun yang melakukan rogol statutori dengan kanak-kanak perempuan bawah umur 16 tahun boleh didakwa, namun tertakluk kepada prinsip khas keadilan kanak-kanak.

Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC) berkata, perkara itu diperuntukan mengikut Seksyen 91 Akta Kanak-kanak 2001, di mana mahkamah akan mengenakan perintah kepada pelaku untuk ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti dan Sekolah Henry Gurney.

Katanya, pendekatan itu bagi menyeimbangkan prinsip akauntabiliti dengan memberikan peluang kedua.

“(Langkah itu) agar pelaku kanak-kanak tidak dihukum seperti pesalah dewasa, tetapi tetap bertanggungjawab dan diberikan pemulihan,” katanya dalam kenyataan.

OCC menjelaskan, undang-undang sedia ada digubal atas asas kanak-kanak perempuan bawah 16 tahun tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memberikan persetujuan kepada sebarang bentuk hubungan seksual, walaupun wujud keadaan dilihat sebagai ‘suka sama suka’.

Ini kerana, rasionalnya kanak-kanak perempuan masih belum matang dari segi fizikal, mental dan emosi, dan mudah terdedah kepada manipulasi, pujukan atau eksploitasi pihak lain.

“Berikutan itu, kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa perlu dilindungi undang-undang bagi mengelakkan trauma berganda dan memastikan mereka tidak dipersalahkan atau dihukum.

“Hukuman dalam kes ini hanya dikenakan kepada pihak lelaki melakukan perbuatan tersebut, sama ada lelaki dewasa atau kanak-kanak di bawah 18 tahun.”

Peruntukan Kanun Keseksaan berkait rogol menjadikannya kesalahan untuk melakukan hubungan seks dengan seorang perempuan bawah 16 tahun, satu perbuatan yang biasanya dikenali sebagai ‘rogol statutori’.

Baru-baru ini, Ketua Polis Kelantan Yusoff Mamat, mencadangkan gadis bawah umur yang melakukan hubungan seks suka sama suka juga perlu dikenakan tindakan undang-undang, apabila pasangan mereka didakwa dengan rogol statutori.

Beliau berkata, hampir 90% kes rogol statutori yang dilaporkan di negeri itu melibatkan persetujuan kedua-dua pihak, namun undang-undang sedia ada lebih cenderung mendakwa lelaki sahaja.

Mufti Kelantan Shukri Mohamed, berkata cadangan itu memerlukan kajian teliti, dan ia menimbulkan persoalan penting mengenai keadilan serta pelaksanaan undang-undang sivil dan syariah.

Namun, Ketua Pesuruhjaya kanak-kanak Suhakam, Farah Nini Dusuki, mengkritik cadangan itu yang katanya sama sekali tidak patut dilayan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, turut menolak cadangan itu dengan menyatakan kerajaan akan terus mematuhi piawaian antarabangsa bahawa ‘rogol statutori adalah rogol statutori’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.