Pinda laporan audit 1MDB: Arul Kanda ditahan SPRM, kata peguam

Pinda laporan audit 1MDB: Arul Kanda ditahan SPRM, kata peguam

Peguam, N Sivananthan berkata, Arul Kanda Kandasamy dan Najib Razak akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Arul Kanda Kandasamy (kanan) tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira 9.30 pagi tadi. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkaitan dakwaan meminda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, kata peguamnya, Datuk N Sivananthan.

Beliau berkata, anak guamnya ditahan pada 10.30 pagi tadi, selepas sejam tiba di ibu pejabat SPRM, di sini, untuk memberi keterangan berhubung dakwaan itu.

Katanya, Arul Kanda dan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok atas dakwaan meminda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

“Saya difahamkan akan ada satu pertuduhan terhadap mereka berhubung laporan ketua audit negara.

“Tidak seperti Najib, Arul tidak akan dibebaskan hari ini. Beliau akan ditahan untuk keterangan direkodkan.”

Najib dijangka didakwa menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan laporan audit 1MDB dipinda, manakala Arul Kanda akan dituduh bersubahat atas kesalahan itu.

Semalam, Najib ditahan kira-kira 2 jam 30 minit di SPRM, ketika hadir memberi keterangan berhubung dakwaan pindaan laporan akhir audit 1MDB itu sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Pada 6 Disember lalu, Najib pertama kali memberi keterangan kira-kira 4 jam kepada SPRM berhubung kes sama.

Pada 24 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad  mendedahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda dan Najib tahu mengenainya.

Madinah mendakwa 2 perkara penting digugurkan dalam laporan itu, iaitu kehadiran ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB serta status kewangan 1MDB.

SPRM sudah memanggil bekas ketua audit negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad memberi keterangan berhubung kes sama.

Terdahulu, Bernama melaporkan bekas ketua setiausaha negara, Tan Sri Ali Hamsa kelihatan berada di ibu pejabat SPRM, namun media tidak tahu tujuan kehadirannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.