
Pengerusi sementara Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata beliau bimbang dengan khabar angin Perlembagaan Sabah mungkin dipinda untuk membolehkan Tun Juhar Mahiruddin memegang jawatan itu lebih lama.
“Kami terima maklumat ini melalui satu sumber dalaman.
“Kami berharap ia tidak benar dan jika kerajaan Sabah betul-betul bercadang berbuat demikian, kami harap mereka akan membatalkan rancangan mereka.”
Zulkarnain bimbang rancangan itu ditafsir sebagai “ganjaran” bagi Juhar atas peranannya melantik 2 ketua menteri dalam masa 3 hari pada Mei lalu, dan didakwa memujuk beberapa Adun memberi sokongan mereka kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.
Beliau mendakwa Juhar sengaja menangguhkan upacara angkat sumpah bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman, walaupun mempunyai sokongan 31 Adun ketika itu.
“Kami bimbang cubaan melanjutkan jawatan Juhar bertujuan membalas peranannya dalam memastikan Shafie menjadi ketua menteri.”
Zulkarnain berkata, gabenor negeri tidak sepatutnya terlalu menonjolkan pilihan politiknya.
Dahulu, katanya, Sabah mempunyai ketua negeri yang menjauhi politik seperti Tun Ahmadshah Abdullah yang merupakan gabenor dari 2003 hingga 2010.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu mencontohi perkara itu, jika ia serius dalam usaha membanteras rasuah seperti kerajaan persekutuan.
Katanya, ada ramai pemimpin yang layak mengambil alih jawatan itu, termasuk penjawat awam bersara.
“Juhar perlu melepaskan jawatannya kerana penggalnya akan berakhir. Kenapa perlu melanjutkan penggalnya?
“Saya tidak percaya apabila orang kata ia demi kestabilan politik. Sabah stabil dan aman sekarang. Melantik orang lain ke jawatan itu tidak akan menyebabkan negeri tidak stabil.”
Zulkarnain berkata, melanjutkan penggal gabenor lebih 2 penggal akan memberi mesej “ada sesuatu yang tidak betul”.
Katanya, ini khasnya apabial banyak yang dilakukan Juhar untuk memastikan Shafie dilantik sebagai ketua menteri, termasuk membuat laporan polis terhadap Musa.
“Rasuah bukan saja memberi dan menerima wang, ia juga demi jawatan. Itu sebabnya kami membuat laporan kepada SPRM supaya agensi itu boleh membuka kertas siasatan berhubung perkara ini.”
DUN Sabah akan mengadakan sidang khas Khamis ini, di mana Shafie berkata, beliau menyasarkan untuk meminda Perlembagaan Sabah, termasuk rang undang-undang tanah.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan atau menafikan khabar angin sidang itu akan melanjutkan penggal Juhar melebihi 2 penggal.
Khidmat Juhar selama 2 penggal akan tamat 31 Disember ini. Beliau dilantik sebagai gabenor Sabah sejak 1 Januari 2011.