Rosmah lantik peguam baharu hadapi kes projek solar hibrid

Rosmah lantik peguam baharu hadapi kes projek solar hibrid

Akberdin Abdul Kader dan Jagjit Singh menggantikan K Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent.

Rosmah Mansor hadir pada sebutan semula kes rasuah berkaitan projek solar hibrid bagi sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak.
KUALA LUMPUR:
Datin Seri Rosmah Mansor mendapatkan khidmat peguam baharu untuk mewakilinya berdepan dakwaan menerima rasuah berkaitan projek solar hibrid bagi sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak.

Peguam Akberdin Abdul Kader dan Jagjit Singh dilantik menggantikan K Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent yang tampil bagi pihak isteri bekas perdana menteri itu apabila dia didakwa di Mahkamah Sesyen bulan lepas.

Timbalan Pendakwaraya Ahmad Akram Gharib memaklumkan Hakim Azman Ahmad tentang penukaran peguam itu ketika kes itu disebut hari ini.

Sementara itu, Akberdin memaklumkan Azman bahawa pihak pembelaan belum menerima semua dokumen yang akan digunakan oleh pihak pendakwaraya semasa perbicaraan.

Akram berkata dokumen-dokumen itu akan diserah kepada pihak pembelaan sebelum sebutan seterusnya pada 11 Januari depan.

Akram memaklumkan Azman bahawa pihak pendakwaan sedia memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi jika pihak pembelaan belum berbuat demikian.

Akberdin berkata pihaknya perlu mengkaji dokumen-dokumen itu sebelum membuat keputusan itu.

Pada 15 November lalu, Rosmah didakwa cuba mendapatkan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, antara Mac dan April pada 2016.

Jumlah tersebut 15% daripada nilai kontrak, dikatakan sebagai pendorong untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek tersebut melalui rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah juga didakwa menerima RM1.5 juta daripada Saidi untuk membantunya mendapatkan kontrak itu.

Kedua-dua kesalahan itu bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Jika didapati bersalah, Rosmah boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun atau didenda tidak kurang daripada 5 kali ganda nilai suapan bagi setiap pertuduhan.

Bekas pembantu Rosmah, Rizal Mansor, 44, juga didakwa di mahkamah lain berkaitan projek yang sama.

Dia dikenakan 2 tuduhan meminta suapan dan 2 tuduhan menerima suapan daripada Saidi, dalam kesalahan yang dilakukan di sebuah kafe di Sunway Putra Mall.

Ini termasuk meminta RM187.5 juta bagi pihak Rosmah antara Mac dan April 2016, serta RM25 juta daripada Saidi untuk dirinya sebagai pendorong untuk memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu.

Rizal juga didakwa dengan 2 tuduhan menerima sejunlah RM5.5 juta daripada Saidi pada Disember 2016, sebagai ganjaran untuk Rosmah kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek itu.

Projek solar itu mengundang kontroversi apabila laman Sarawak Report pada Jun mendakwa Najib mengarahkan kontrak diberikan kepada Jepak Holdings, sebuah syarikat perkhidmatan pengangkutan yang berpangkalan di Bintulu.

Jepak Holdings dilantik pada penghujung 2016 untuk perbekalan diesel dan baikpulih generator, dan untuk menyediakan sistem solar hibrid bagi 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak.

Setakat ini, belum ada sekolah memiliki sistem itu.

Sementara itu, FMT difahamkan Kumaraendran dan Vincent akan kekal sebagai peguam Rosmah dalam kes pengubahan wang melibatkan kira-kira RM7 juta yang sudah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.