
Tetapi, dengan penguatkuasaan Kaedah-kaedah Profesion Undang-undang (Publisiti) 2025 mulai 1 Jan lalu, peguam diberikan kebebasan lebih luas untuk mempromosikan perkhidmatan mereka – termasuk melalui internet, media sosial dan platform digital lain.
Walaupun perubahan itu menandakan peralihan penting dalam peraturan pengiklanan bagi peguam di Malaysia, profesion guaman masih dikawal lebih ketat berbanding di negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
FMT menemubual dua peguam untuk memahami sebabnya.
Keperluan peraturan publisiti dikemas kini
Ahli Majlis Peguam, V Kokila Vaani, berkata usaha memodenkan peraturan publisiti profesion guaman berterusan sejak beberapa tahun lalu, didorong keperluan memastikan ia kekal relevan dalam era digital.

Pada Jun 2022, Jawatankuasa Profesion Guaman Majlis Peguam meminta ahlinya memberi maklum balas terhadap draf peraturan baharu yang disediakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara bagi menggantikan Kaedah-kaedah Profesion Undang-undang (Publisiti) 2001.
Kokila Vaani berkata, peraturan 2001 tidak praktikal dalam landskap digital yang dikuasai laman sesawang dan media sosial, khasnya dengan kemunculan audio siar serta penerangan undang-undang di pelbagai platform dalam talian.
“Peguam sudah pun kelihatan dalam talian, dan lebih baik dikawal secara munasabah daripada berpura-pura ia tidak wujud,” katanya kepada FMT.
Tegasnya, perubahan ini tidak berlaku secara mendadak, sebaliknya usaha lama tertangguh untuk menyaingi negara seperti AS dan UK, yang sekian lama membenarkan peguam mengiklankan perkhidmatan mereka dengan batas etika.
Apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan
Di bawah peraturan baharu, peguam di Malaysia masih dilarang memasarkan perkhidmatan mereka dengan cara yang boleh menjejaskan maruah dan kedudukan profesion guaman.

Peguam Rajesh Nagarajan berkata, peraturan baharu itu mengehadkan peguam daripada membuat tuntutan perbandingan, menjanjikan hasil, menggunakan testimoni terpilih serta mendapatkan pelanggan secara tidak langsung.
“Garis antara sekadar berkongsi fakta dan bermegah masih halus, dan sering bergantung pada nada, konteks serta niat. Peguam dinasihatkan berhati-hati, khasnya dengan kandungan digital awam kekal dan mudah dikongsi,” katanya kepada FMT.
Kokila Vaani pula menegaskan peguam perlu mengelak daripada menggambarkan diri sebagai “pakar”, menyasarkan kumpulan rentan atau mewujudkan jangkaan tidak realistik.
Publisiti kepakaran peguam dibenarkan, tetapi hanya dalam parameter ketat yang direka untuk mengekalkan integriti profesional, memastikan keyakinan pelanggan dan melindungi kedudukan profesion guaman.
Masih banyak batas berbanding AS, UK
Kokila Vaani berkata, peguam di AS sering mengiklankan jumlah pampasan diperoleh dalam kes, menawarkan potongan yuran dan menjalankan kempen pelanggan yang disasarkan secara khusus – amalan tidak dapat dibayangkan di Malaysia, bahkan di UK, di mana masih ada sekatan ke atas pendekatan tanpa diminta walaupun terdapat kebebasan lebih luas untuk mengiklan secara terbuka, asalkan publisiti itu benar.
Katanya, walaupun peraturan 2025 mewakili perubahan bermakna berbanding pendekatan tradisional berprofil rendah dan membenarkan lebih banyak libat urus awam serta digital oleh peguam, ia masih tidak bebas seperti AS dan pada tahap tertentu di UK serta Singapura.
“Pendekatan berhati-hati ini mencerminkan komitmen berterusan Majlis Peguam terhadap maruah profesional, perlindungan anak guam dan pandangan bahawa amalan guaman tidak patut sampai ke tahap perusahaan komersial.”
Rajesh berkata, peraturan 2025 membawa Malaysia lebih dekat kepada model UK dan AS secara “terkawal”.
“Tidak seperti bidang kuasa itu, di mana logik pasaran memainkan peranan lebih besar dalam pengawalan profesional, rangka kerja Malaysia masih menekankan nada, keseimbangan dan mengelak daripada promosi diri.
“Prinsip utama ialah keterlihatan tidak boleh mengorbankan kepercayaan.”