
Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata kajian tersebut akan meneroka kaedah yang sesuai dilaksanakan dengan mengikut acuan tempatan, termasuk sentimen dan sensitiviti rakyat.
“Kajian yang dilaksanakan oleh kementerian ini juga akan mengambil contoh pelaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan di negara-negara lain di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Adalah penting untuk kita terus meneroka kaedah baharu yang bersesuaian untuk dilaksanakan, disamping sentiasa peka dan mempertimbangkan kebaikkan dan keburukkan dari segala aspek.”
Kenyataan menteri menyusuli pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, bahawa kerajaan tidak ada rancangan untuk menghidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan atas kebimbangan berlakunya konflik kaum.
Merujuk kepada kemungkinan wujudnya perbezaan antara demografi bandar dan luar bandar, beliau berkata, pilihan raya kerajaan tempatan mungkin akan menghasilkan “keputusan yang salah”.
Zuraida berkata cadangan pilihan raya kerajaan tempatan diketengahkan Pakatan Harapan dalam manifesto gabungan itu.
Sehubungan itu, kementerian bertindak merangka beberapa perkara bagi melaksanakan “idea” tersebut, dengan mengambil kira pelbagai sudut termasuk memberi pemahaman, pemberdayaan dan penerangan bersepadu kepada pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan, yang hanya akan dibentangkan dalam jangka masa 3 tahun lagi.
“Kementerian maklum akan kerisauan yang dizahirkan oleh perdana menteri dalam kenyataan beliau berkenaan pilihan raya kerajaan tempatan sekiranya perkara itu dilaksanakan dalam keadaan semasa.
“Sebagai kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal kerajaan tempatan, kementerian akan meneruskan kajian mengenai pelaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan sebagai salah satu opsyen untuk mempertingkatkan lagi pendemokrasian dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.
Zuraida pada Julai lepas berkata kementerian bercadang mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam masa 3 tahun akan datang.
Katanya, pilihan raya itu hanya dapat diadakan selepas ekonomi dan kedudukan kewangan negara stabil.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad pula berkata, pilihan raya kerajaan tempatan bagi Kuala Lumpur boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk diadakan.
Beliau juga berkata, tidak ada tempoh masa untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan.