
Beliau berkata, kajian yang turut melibatkan wakil badan bukan kerajaan (NGO) itu bermula sejak 1 Sept tahun lalu dan dijangka tamat pada 28 Feb ini.
Katanya, sebanyak 20 siri sesi libat urus diadakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri bersama pihak berkepentingan pada peringkat akar umbi dalam menggubal undang-undang itu.
“Daripada jumlah itu, 12 siri libat urus peringkat negeri melibatkan penyertaan 1,544 peserta telah diadakan merangkumi pegawai kerajaan, wakil parti politik, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), dewan perniagaan, serta ahli akademik dan belia.
“Hasil dapatan sesi libat urus dan kajian tersebut akan digabungkan bagi membentuk parameter dasar RUU Pendanaan Politik. Cadangan dasar ini masih diteliti dan akan dirujuk kepada JKPK terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat pertimbangan selanjutnya,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai status perkembangan kepada cadangan kerajaan untuk menggubal undang-undang berkenaan.
Mengulas lanjut, Kula menegaskan kerajaan komited sepenuhnya terhadap reformasi tersebut, di sebalik tuntutan seorang wakil rakyat pembangkang untuk kerajaan memastikan ia dilaksanakan secara adil kepada semua parti dan tidak disalahgunakan.
Kita (kerajaan sekarang) komited 100%. Namun, perlu diingat semasa pihak sana (pembangkang) menjadi kerajaan selama lebih dua tahun sebelum ini, mereka telah melepaskan peluang keemasan untuk menggubal undang-undang ini,” katanya.
Terdahulu, Che Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mencadangkan kerajaan tidak menerima sumbangan daripada mana-mana kontraktor yang aktif mendapat projek bagi mengelakkan amalan ‘membeli pengaruh’.
Katanya, wujud kebimbangan mengenai dana daripada organisasi luar negara seperti National Endowment Democracy (NED) yang didakwa pernah menyumbang kepada pihak tertentu.
Januari tahun lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan menggesa kerajaan segera bawa draf undang-undang dana politik ke jawatankuasa Parlimen untuk dibentangkan di Dewan Rakyat, dengan peringatan topik itu sudah dibincangkan beberapa kali sejak 2015.
Namun, pada Mac Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, sukar untuk RUU Pendanaan Politik diluluskan sebelum PRU akan datang.
“Lebih banyak maklum balas masih diperlukan, terutama daripada masyarakat awam,” katanya.