
Ketua Pengarah Bomba, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata perkara itu dimaklumkan doktor pakar Institut Jantung Negara (IJN) yang memantau rapi perkembangan anggota bomba berkenaan sejak dimasukkan ke pusat perubatan itu pada malam 28 November lalu.
“Pada hari ini, keadaannya masih kritikal tetapi stabil, namun telah banyak menunjukkan perkembangan positif dan kami percaya beliau mempunyai kekuatan untuk sembuh semula dengan bantuan serta usaha doktor-doktor pakar IJN.
“Pihak doktor pakar juga menyatakan beberapa peralatan bantuan masih digunakan untuk pastikan fungsi pernafasan, aliran darah dan jantung dapat dipulihkan ke tahap optima,” katanya selepas Istiadat Pengurniaan Darjah dan Pingat Kebesaran Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar hari ini.
Pada majlis itu, seramai 178 individu menerima darjah dan kurniaan pingat yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Hamdan dikurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah (DSAP) yang membawa gelaran Datuk.
Awal bulan ini, doktor menghentikan mesin sokongan jantung kepada Adib yang didapati mampu berfungsi dengan sendiri.
Sementara itu, Hamdan menasihati orang awam menghindari kawasan rekreasi berisiko tinggi, khasnya pada musim cuti sekolah dan tengkujuh untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Taburan hujan kali ini kami percaya bukanlah seperti 2014, tetapi kami tidak menolak kemungkinan perubahan cuaca itu boleh menyebabkan berlaku kenaikan air pasang dan hujan secara mendadak.
“Sentiasa peka dengan amaran dan arahan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi serta agensi berkaitan pengurusan bencana banjir ini.”
Katanya, cuti lebih 10,000 anggota dan pegawai bomba di seluruh negara dibekukan sementara sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh dan banjir, terutama 3 negeri di pantai timur, Kedah serta Pulau Pinang.