
Parti yang berdepan ketidaktentuan sebelum ini susulan perbalahan dalaman, memilih pucuk pimpinannya hari ini.
Usno Baru ialah sebuah daripada 20 parti politik baharu yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 2013.
Parti itu ditubuhkan susulan Usno lama yang diasaskan Ketua Menteri Sabah ke-3, Datu Mustapha Harun pada 1967, dibatalkan pendaftaran oleh JPPM pada 1996.
Parti itu pernah memerintah Sabah dari 1967 hingga 1975, tahun ia dikalahkan Berjaya dalam pilihan raya negeri. Parti lama itu dibubarkan untuk memberi laluan kepada Umno bertapak di Sabah pada 1991.
Usno Baru mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) selama 2 jam hari ini, selepas menerima notis JPPM yang parti itu perlu mengadakan AGM dalam sebulan, mulai 7 November lalu.
Sepuluh daripada 13 ahli jawatankuasa sementara asal parti itu menghadiri mesyuara hari ini yang menyaksikan Ibrahim Linggam dipilih sebagai presiden, selepas menewaskan presiden sementara, Dulli Tiaseh.
Ibrahim meraih 8 undi berbanding Dulli yang memperoleh 2 undi.
“Kami gembira ia sudah berakhir. Kini, ia permulaan baharu bagi kami dan kami akan mula merekrut ahli tidak lama lagi,” kata Ibrahim selepas mesyuarat itu.
Katanya, mesyuarat itu, pemilihan parti dan pelantikan ahli jawatankuasa diadakan sejajar peraturan JPPM.
Beliau berkata, parti itu sebelum ini dilarang mengadakan sebarang aktiviti, sementara menunggu keputusan akhir JPPM.
Katanya, Usno Baru kekal neutral ketika ini dan tidak memihak kepada kerajaan atau pembangkang.
“Fokus kami ketika ini ialah mengatur parti kami. Kami akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi pertama kami tidak lama lagi untuk membincangkan pendirian dan hala tuju kami,” katanya sambil menambah Usno Baru ialah parti berbilang kaum.
Timbalan Presiden baharu dilantik, Leong Chan Chu yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Usno lama berkata, Usno Baru akan diterima baik orang Sabah.
“Ini kerana Usno sinonim dengan kemerdekaan Sabah.
“Saya menggesa semua pihak yang bersimpati dengan Usno lama, walaupun mereka yang bersikap neutral, untuk menyertai perjuangan kami.”
Setiausaha Agungnya, Matbee Ismail menepis dakwaan Usno Baru sebenar jentera politik untuk ahli Umno di negeri itu, sebaliknya mereka mengalu-alukan sesiapa sahaja menyertainya.
“Sama seperti mana-mana parti politik, kami berhasrat menjadi kerajaan suatu hari nanti.”