
Beliau mengakui kegagalan Ikhlas mengemukakan penyata kewangan tahunan kepada JPPM kerana berdepan kekangan mengadakan mesyuarat disebabkan negara berdepan penularan Covid-19.
“Bukan kita tidak mahu hantar penyata kewangan tahunan seperti diminta, tetapi tahun sebelum 2022 negara sedang berdepan Covid-19, Ikhlas sukar adakan mesyuarat tahunan, sebab itu kami tidak hantar kepada JPPM.
“Selepas Covid-19 reda, kami mahu serah dokumen seperti diminta, tetapi kami dimaklumkan Ikhlas telah dibatalkan pendaftaran oleh JPPM Wilayah Persekutuan selepas operasi pemutihan.
“Bukan saja Ikhlas terlibat, banyak NGO lain turut dibatalkan pendaftaran, malah sebelum pembatalan, kami tidak diberi sebarang notis,” katanya kepada FMT.
Ketua Pengarah JPPM, Mohd Zulfikar Ahmad dipetik Scoop mengesahkan pendaftaran Ikhlas dibatalkan pada 24 Nov 2022 mengikut Akta Pertubuhan 1966 kerana gagal mengemukakan penyata kewangan tahunan.
Ridzuan berkata, pihaknya membuat rayuan kepada JPPM ketika itu, tetapi sehingga kini tiada maklum balas diterima.
Menurutnya, JPPM tidak patut membuat keputusan terburu-buru membatalkan pendaftaran Ikhlas yang ditubuhkan sejak 2007.
Susulan pembatalan pendaftaran itu, beliau berkata, pihaknya menubuhkan Sekretariat Gabungan NGO Ikhlas Malaysia untuk meneruskan gerak kerja membantu rakyat.
“Walaupun pendaftaran Ikhlas dibatalkan, ia tak mematahkan semangat kami.
“Kita tubuh sekretariat baharu ini tak menyalahi undang-undang, kita tak kutip dana termasuk dana keahlian, kita buat berdasarkan undang-undang.”