JPPM batal pendaftaran Ikhlas 3 tahun lalu

JPPM batal pendaftaran Ikhlas 3 tahun lalu

Pendaftaran Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia dibatalkan kerana gagal kemuka penyata kewangan tahunan.

Zulfikar Ahmad
Ketua Pengarah JPPM, Mohd Zulfikar Ahmad mengesahkan pendaftaran Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) dibatalkan pada 2022. (Gambar JPPM)
PETALING JAYA:
Pendaftaran Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) dibatalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) tiga tahun lalu kerana gagal mengemukakan penyata kewangan tahunan.

Ketua Pengarah JPPM, Mohd Zulfikar Ahmad mengesahkan perkara itu, lapor Scoop.

Difahamkan pendaftaran Ikhlas dibatalkan pada 24 Nov 2022 mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Ngo itu diterajui Mohd Ridzuan Abdullah yang juga seorang ahli perniagaan.

Pada 26 Jan 2023, Ridzuan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 12 pertuduhan membuat tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mendapatkan insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0, berjumlah RM378,000.

Beliau merupakan pemilik syarikat PUPA International Sdn Bhd didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Perkeso Putrajaya pada 2 Mac 2021 dan 2 April 2021.

Ridzuan didakwa mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu tentang gaji sedangkan senarai pekerja yang dikemukakan tidak menerima gaji itu.

Semua pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.