
Ketua Aktivis Nadzim Johan berkata pihaknya tidak mengetahui Ikhlas sudah dibatalkan pendaftaran ketika terlibat dalam program menghantar memorandum ke Kementerian Dalam Negeri (KDN), baru-baru ini.
“Kita pun tidak mahu menyusahkan diri, tak mahu orang awam persoal kredibiliti kenapa kita bekerjasama dengan NGO yang sudah dibatalkan.
“Kita tak mahu orang kata kita bekerjasama dengan NGO haram, lagipun banyak lagi NGO yang ada dalam negara ini yang boleh kita kerjasama,” lapor Scoop.
Kelmarin, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengesahkan pendaftaran Ikhlas dibatalkan pada 24 Nov 2022 mengikut Akta Pertubuhan kerana gagal mengemukakan penyata kewangan tahunan.
Bagaimanapun, Presiden Ikhlas Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa pembatalan pendaftaran NGO itu dibuat tanpa sebarang notis.
Ridzuan berkata pihaknya membuat rayuan kepada JPPM ketika itu, tetapi sehingga kini tiada maklum balas diterima.
Beliau menjelaskan kekangan Covid-19 sebelum 2022 menyukarkan Ikhlas untuk mengadakan mesyuarat dan mengemukakan penyata kewangan tahunan kepada JPPM.
Pada Januari 2023, Ridzuan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas 12 pertuduhan membuat tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mendapatkan insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0, berjumlah RM378,000.
Beliau didakwa mengemukakan dokumen dengan maklumat gaji tidak tepat, menunjukkan bahawa pekerja yang disenaraikan telah menerima bayaran, namun sebenarnya tidak dibayar.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.