Pertikaian RUU Pekerja Gig serlah kemelut MTUC

Pertikaian RUU Pekerja Gig serlah kemelut MTUC

Hanya sebulan selepas presiden baharu dipilih dua pemimpin tertinggi MTUC zahir pendirian bertentangan mengenai RUU penting.

Halim Mansor and Kamarul Baharin Mansor
Presiden MTUC Halim Mansor (kiri) dan Setiausaha Agung Kamarul Baharin Mansor keluar kenyataan bercanggah pada Selasa berhubung RUU Pekerja Gig 2025.
PETALING JAYA:
Kemelut dalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kembali terserlah susulan kenyataan bercanggah kepimpinan tertingginya mengenai Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig yang dicadangkan, menurut pemimpin kesatuan.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung Malaysia (NUHBRW), Rusli Affandi, berkata MTUC perlu menyampaikan mesej konsisten mengenai RUU Pekerja Gig 2025 atas dasar solidariti.

“Buat masa sekarang, kerajaan boleh lihat, MTUC tidak sehaluan,” katanya.

Terdahulu, Presiden MTUC Halim Mansor dan Setiausaha Agung Kamarul Baharin Mansor mengeluarkan kenyataan bertentangan mengenai RUU itu awal minggu ini.

Pada Selasa, Kamarul menyifatkan dakwaan bahawa MTUC menyokong RUU, yang bertujuan mengiktiraf dan melindungi pekerja gig, sebagai mengelirukan.

Beliau berkata, majlis am kesatuan sebulat suara bersetuju RUU itu patut ditangguhkan sementara menunggu rundingan bersama Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

Katanya, MTUC telah mengutus surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim bagi menggesa penangguhan RUU itu.

Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, Halim menegaskan kongres itu menyokong RUU tersebut dan ia pendirian rasmi MTUC memandangkan beliau presiden.

RUU itu kemudian diluluskan oleh Dewan Negara pada Selasa selepas dibahaskan oleh 18 senator.

Sebelum itu, Sim dilaporkan berkata, RUU tersebut mendapat sokongan kesatuan sekerja, termasuk MTUC dan kumpulan lain yang mewakili pekerja gig, sebelum ia diluluskan di Dewan Rakyat.

Percanggahan pendirian dua pemimpin tertinggi MTUC itu berlaku hanya sebulan selepas Halim dipilih semula sebagai presiden dalam sebuah kongres khas, sekali gus menamatkan krisis kepimpinan enam tahun yang turut melibatkan pertikaian undang-undang serta campur tangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Saya berpendapat MTUC harus kekal bersatu dan sependapat. Tetapi seperti biasa, konflik dalaman seolah-olah tiada penghujungnya,” kata Rusli.

Dalam pada itu, beliau berkata, NUHBRW tidak lagi mempunyai kaitan dengan MTUC sejak 2013.

“Fokus mereka lebih kepada elaun Perkeso dan KWSP berbanding kepentingan pekerja secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, aktivis hak pekerja Callistus Antony D’Angelus berkata, Kesuma mendorong RUU tersebut secara tergesa-gesa.

Menurutnya, rundingan yang ‘menyeluruh dan teliti’ bersama MTUC perlu bagi memastikan RUU tersebut menjaga kepentingan nasib pekerja gig.

D’Angelus, selaku penasihat buruh antarabangsa untuk Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) berkata, pekerja gig diakui antara golongan paling terdedah kepada eksploitasi, di mana amalan pekerjaan yang tidak terjamin seolah-olah menjadi norma bagi mereka.

“Kerajaan, yang fokus untuk naik taraf hidup rakyat miskin, perlu cakna bagaimana RUU ini dikendalikan.

“Kerajaan juga tidak wajar ambil kesempatan atau keruhkan lagi perbezaan pandangan dalaman MTUC,” katanya kepada FMT.

FMT sedang cuba mendapatkan maklum balas Sim berhubung isu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.