Lelaki dibelasah berkumpulan nafi bakar kontena dekat kuil Subang Jaya

Lelaki dibelasah berkumpulan nafi bakar kontena dekat kuil Subang Jaya

Sulaiman Abdullah berkata, kejadian beliau dibelasah berpunca daripada salah faham apabila sekumpulan individu melihatnya keluar dari belakang sebuah kontena dengan bersarung tangan.

Sulaiman Abdullah menunjukkan laporan polis dibuatnya dan kad pengenalannya bagi membuktikan beliau ialah warganegara Malaysia.
GOMBAK:
Seorang lelaki menafikan beliau membakar kontena berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, Isnin lalu, sehingga menyebabkan sekumpulan individu membelasahnya beramai-ramai.

Sulaiman Abdullah, 32, berkata kejadian itu berpunca daripada salah faham apabila kumpulan individu itu ternampak beliau keluar dari belakang sebuah kontena dengan bersarung tangan.

Tukang masak di sebuah restoran di Pusat Beli-belah One City itu berkata, beliau tinggal di salah sebuah rumah kongsi disediakan majikannya yang diperbuat daripada kontena itu sejak 4 bulan lalu dan ketika kejadian, beliau dalam perjalanan pulang ke rumah untuk mengambil barangnya.

“Ketika saya melalui kawasan itu, saya lihat 2 kontena (rumah kongsi) sudah terbakar di sebelah kiri saya, dan saya dapati rumah saya turut terbakar.

“Saya terus meluru ke rumah saya untuk mengambil beg pakaian, namun saya hanya mampu menyelamatkan sebuah beg berisi al-Quran dan sejadah.

“Selepas ambil beg itulah saya terus dikepung, sebelum dipukul sekumpulan individu yang salah faham saya membakar kontena itu.

“Tentang sarung tangan itu, saya memang sudah pakai sejak dari restoran lagi,” katanya ketika ditemui di rumah adiknya hari ini.

Katanya, beliau tidak tahu mengenai kekecohan yang berlaku di luar Kuil Sri Maha Mariamman pada Ahad malam.

“Jadi, saya pergi ke rumah saya seperti biasa pada Isnin lalu. Ketika di sana, saya memang lihat ada beberapa buah kereta terbakar di tepi jalan, tapi saya teruskan perjalanan kerana tidak mengesyaki apa-apa.”

Sulaiman yang menafikan dirinya ialah warga asing berkata, beliau diselamatkan anggota polis yang cuba meleraikan kumpulan individu membelasahnya.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki asing dipercayai buruh binaan dikepung dan dibelasah orang ramai, selepas didakwa memulakan kebakaran kerana dilihat keluar dari belakang sebuah rumah kongsi berhampiran kuil itu, dalam kejadian 1 tengah hari Isnin lalu.

Akibatnya, lelaki terbabit cedera di bahagian kepala, hidung dan patah gigi kerana ditumbuk kumpulan individu itu.

Sulaiman berkata, beliau sudah membuat laporan polis dan tampil memberi penjelasan hari ini bagi membersihkan namanya, selepas laporan mengenai insiden itu tersebar di media sosial sehingga menyebabkan orang ramai, termasuk kenalan dan saudara maranya mempunyai persepsi buruk terhadapnya.

Bagaimanapun, beliau berjanji tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan individu yang membelasahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.