
Pengarahnya, Rosnah Sardi berkata, pihaknya sudah menemui ibu kandung remaja 17 tahun itu bagi menentukan kesesuaian penempatan selepas ini dan tindakan yang dilakukan pelindung mengikut Akta Kanak-kanak 2001.
“Sebelum ini, kami mengesan waris mangsa bagi menentukan masa depannya, sebelum ibu kandungnya yang menetap di Seremban hadir di hospital minggu lalu.
“Hasil temubual, kami mendapati wanita 40 tahun ini tidak mampu memberikan penjagaan sewajarnya berdasarkan situasi semasanya,” katanya menurut Harian Metro.
Justeru, beliau berkata, remaja itu akan dirujuk kepada pegawai kaunselor di bawah institusi JKM bagi membantu mangsa mengatasi traumanya.
“Ketika ini, mangsa masih dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah. Dia kini dalam keadaan stabil dan tidak menunjukkan kelakuan agresif.
“Selepas mendapat maklum balas ibu kandungnya, kami dalam siasatan untuk penempatan mangsa. Pelindung akan mohon perintah jagaan sementara kepada mahkamah.”
Katanya, pelindung daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat (PKMD) Rembau sudah menyantuni mangsa dan perancangan awal ialah menempatkannya di institusi selamat bagi pemeliharaan dan perlindungan mengikut Akta Kanak-kanak 2001.
Rosnah berkata, pihaknya juga akan memastikan mangsa menyambung persekolahan, tidak kira di mana penempatannya kelak.
Minggu lalu, media melaporkan mangsa ditendang dan dipukul bapanya yang dipercayai mabuk pada 23 Jan lalu selepas mendedahkan tindakan suspek didakwa merogolnya kepada teman wanita bapanya.