
Ketua Polis Seremban, Mohamad Hatta Che Din, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas kejadian yang dipercayai berlaku dekat kedai makan dan gelanggang futsal di Kampung Sentosa Jaya kira-kira 3 pagi susulan laporan bapa mangsa.
“Mangsa seorang remaja 17 tahun dikatakan dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki,” katanya menurut Harian Metro sambil menambah mangsa lebam di mata kiri dan sakit seluruh badan.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada selisih faham, yang mana suspek utama kes ini dipercayai menyerang mangsa kerana menyangka mangsa mencederakan adiknya.”
Beliau berkata, 10 suspek berumur 17 hingga 31 tahun ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Menurutnya, polis memandang serius sebarang bentuk keganasan dan tidak akan berkompromi bagi menegakkan keadilan.
Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi dan memohon saksi awam tampil membantu siasatan.