
Buah-buahan penting dalam diet seharian. Tetapi bagaimana anda menyimpan dan menjaganya lebih baik tanpa rosak untuk tempoh masa yang lama?
Butterkicap berkongsi beberapa tips muda menjaga buah-buahan ini macam pro!
Buah-buahan kekal segar dan tidak mudah lebam
Rendam dalam cuka
Bagi beberapa jenis buah-buahan, teknik penyimpanan agar ia lebih tahan lama adalah berbeza. Salah satu tips yang anda boleh gunakan ialah dengan cara merendamkan buah-buahan dalam rendaman cuka. Setelah itu, bilaskan dengan air bersih dan keringkan. Lalu, simpankan buah-buahan tersebut dalam kotak yang telah dilubangkan dan masukkan dalam peti sejuk.
Gantung, elak cahaya terang
Bagi buah anggur, cara untuk mengekalkan kesegarannya adalah dengan cara mengantungkan buah tersebut di tempat kering, dingin dan gelap agar tidak terdedah dengan cahaya berlebihan, namun kekalkan pengudaraan yang baik untuk anggur. Kebiasaannya, anggur yang tahan lama adalah anggur yang tidak terdedah dengan air selama satu setengah bulan sebelum dipetik, ia akan lebih tahan lama berbanding sebaliknya.
Simpan hala ke atas, elak bertindih
Bagi buah tomato, ia perlu disimpankan dengan dihalakan ke atas jika masih muda. Elakkan diletakkan secara banyak dan terhimpit, letakkan di tempat yang sejuk sehingga ia bertukar warna kemerah-merahan. Jika tomato disimpan ketika sudah masak, sebaiknya ia disimpan dalam suhu bilik dan jangan bagi ia bertindih antara satu sama lain. Ini kerana ia akan menyebabkan buah tomato mudah lembik dan berbau busuk.
Bungkus dulu
Buah epal hendaklah disimpan di tempat yang sejuk dan elakkan bertindih antara satu sama lain dengan epal yang sudah rosak atau lebam. Sebelum anda menyimpan epal, anda perlu membungkus epal dengan menggunakan kertas dengan tangkainya menghala ke atas di simpan dalam peti sejuk di ruangan yang sejuk dan gelap.
Peti sejuk
Bagi penyimpanan buah beri, anda boleh mencampurkan cuka epal dan air dengan sukatan 1:10, kemudian masukkan buah-buahan beri ke dalam campuran bahan tersebut. Setelah dibiarkan seketika, toskan air tadi dan simpan buahan beri dalam mangkuk dan dilapik dengan kertas lalu disimpan dalam peti sejuk.
Balut tangkai
Teknik ini sangat membantu bagi memastikan buahan beri lebih tahan lama dan kekal segar untuk tempoh yang lama. Selain itu, buah pisang juga dapat disimpan dan tahan lama jika bahagian hujung pisang tersebut dibalutkan dengan pembalut plastik. Ia akan kekal dan tahan lama untuk tempoh 3-5 hari dari kebiaasaanya. Yang penting, anda perlu asingkan buah pisang dengan buahan yang lain.
Setelah mendapat beberapa info berkaitan penjagaan makanan dan teknik penyimpanan yamng betul. Anda tidak perlu khuatir untuk menyimpan makanan untuk tempoh masa yang lama. Anda juga boleh menggunakan petua dalam menghilangkan bau peti sejuk dengan meletakkan sedikit esen vanila dalam bekas kecil dan simpankan dalam peti sejuk. Hasilnya, ia akan menjadikan peti sejuk kekal berbau harum dan segar.
Seterusnya, anda boleh meletakkan sepotong nenas pada setiap tingkat bahagian dalam peti sejuk. Setelah itu, bau-bauan yang kurang menyenangkan akan hilang Ataupun, anda boleh mengambil beberapa helai daun pandan dan letakkan di dalamnya. Bau peti sejuk akan harum seperti daun pandan.
Artikel ini pernah diterbitkan dalam www.butterkicap.com