
Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Ab Hamid, berkata sebuah lori dipandu dalam keadaan mencurigakan ditahan di Jalan Besar Rantau Panjang-Pasir Mas pada 6.30 petang Khamis.
Menurutnya, sebanyak 1,550 anak pokok buah dan bunga ditemui dalam lori itu dan disyaki mempunyai serangga perosak serta penyakit.
“Seorang pemandu berusia 33 tahun ditahan dan gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan tanaman tersebut yang disyaki diseludup dari Thailand,” katanya menurut Sinar Harian sambil menambah nilai rampasan dianggarkan RM382,000, termasuk kenderaan.
Dalam rampasan kedua, beliau berkata, seorang pemandu berusia 29 tahun ditahan bersama lori dipandu di Kampung Parit Air pada 8.30 malam.
Menurutnya, sebanyak 2,500 anak pokok buah ditemui dalam lori itu dan disyaki mempunyai serangga perosak serta penyakit, selain pemandu terbabit gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan tanaman yang disyaki diseludup dari Thailand.
Katanya, anggaran nilai rampasan bernilai RM525,000 termasuk kenderaan.
Kedua-dua kes disiasat bawah Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.