Rasuah: Pegawai kanan imigresen, 4 yang lain direman bantu siasatan

Rasuah: Pegawai kanan imigresen, 4 yang lain direman bantu siasatan

Kesemua mereka direman selama 4 hari bermula hari ini sehingga Khamis.

Suspek disyaki menerima rasuah bagi meluluskan permohonan pas lawatan iktisas dan pas lawatan kerja sementara tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
JOHOR BAHRU:
Seorang pegawai kanan imigresen bergelar Datuk, 3 pegawai imigresen dan seorang ahli perniagaan direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah.

Majistret Azureen Sahirah Saufee Afandi membenarkan kesemua mereka direman selama 4 hari bermula hari ini sehingga Khamis (29 Nov) di Mahkamah Majistret, di sini.

Menurut sumber SPRM, pegawai kanan lelaki berusia 44 tahun itu ditahan semalam di pejabat Jabatan Imigresen Negeri Johor pada 10 pagi, manakala 3 lagi pegawai imigresen, termasuk seorang wanita berusia 38 hingga 46 tahun ditahan antara 3.25 petang dan 3.45 petang di pejabat SPRM Johor selepas mereka hadir memberi keterangan.

Ahli perniagaan lelaki berusia 50 tahun itu pula ditahan di pejabat syarikatnya di sekitar bandar raya ini pada 10.25 pagi, semalam.

Menurut sumber, pegawai kanan tersebut disyaki menerima rasuah bagi meluluskan permohonan pas lawatan iktisas dan pas lawatan kerja sementara tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Seri Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

SPRM katanya, turut melakukan penggeledahan di rumah pegawai kanan tersebut dan menjumpai wang tunai dalam pelbagai mata wang yang dianggarkan bernilai RM91,000.

Turut ditemui ialah buku akaun bank di Singapura atas nama suspek (pegawai kanan imigresen) bernilai RM1.8 juta.

Katanya, penahanan berkenaan adalah daripada maklumat dan kerjasama antara SPRM dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.