KR1M: Kerajaan hanya jadi perunding antara pembekal, peruncit

KR1M: Kerajaan hanya jadi perunding antara pembekal, peruncit

Inisiatif baru itu tidak akan memberi kesan kewangan kepada kerajaan dan memastikan barangan dijual pada harga berpatutan.

KPDNHEP berkata program KR1M di bawah pentadbiran BN.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan hanya menjadi perunding antara pembekal dengan rakan strategik bagi memastikan harga barangan yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) berpatutan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chien Jen berkata inisiatif baru itu tidak akan memberi kesan kewangan kepada kerajaan atau kementeriannya.

Beliau bagaimanapun menegaskan walaupun KR1M diteruskan, ia akan dijenamakan semula dengan nama lain yang belum diputuskan lagi.

“Inisiatif baru tidak di bawah jenama KR1M 2.0, tetapi kita akan jenamakan semula. Soal mengenai kesan kewangan pada kerajaan, mekanisma kita akan guna dalam inisiatif baru berbeza.

“Dulu KR1M 1.0, mekanisme kerajaan bekalkan dana untuk KR1M hasilkan barangan jenama sendiri. Tetapi ini terbukti adalah tidak berkesan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Kesavan Subramaniam (PKR-Sungai Siput) yang meminta penjelasan berhubung apa mekanisme kerajaan untuk beri kesan baik dan mengurangkan kesan kewangan kepada negara apabila KR1M 2.0 diteruskan.

Pada 28 Ogos lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyatakan akan meneruskan program KR1M 2.0 dengan membuka peluang kepada lebih banyak syarikat pembekal lain bagi membekalkan barangan untuk rangkaian kedai tersebut.

Menteri KPDNHEP, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya akan memastikan kedai tersebut benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dengan menyediakan barangan pada harga yang lebih rendah berbanding kedai lain.

Chong juga berkata kedua-dua rakan strategik dalam KR1M itu bukan pembekal tetapi hanyalah peruncit yang menjual barang.

Beliau berkata kementeriannya memang berhasrat menambah lagi rakan strategik dan terbuka kepada sesiapa yang berniat ambil bahagian dalam program itu.

“Inisiatif baru itu adalah untuk menawarkan barangan pada harga berpatutan.

“Ikut penelitian kita dan maklum balas daripada orang awam, walaupun bawah KR1M itu matlamatnya ialah untuk jual barang harga murah, barangan bawah jenama KR1M tidak murah dan tidak mempunyai mutu yang baik.

“Oleh itu tujuan kita sekarang di bawah inisiatif baru ialah untuk tawarkan harga berpatutan. Dulu KR1M pesong rakyat kerana tak murah dan kualitii teruk. Sebab itu program gagal.

KR1M 2.0 yang dilancarkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada 4 Februari lalu ialah penjenamaan semula daripada program KR1M yang diperkenalkan melalui inisiatif pihak swasta yang dibantu kerajaan sejak 2011.

Dalam KR1M 2.0, kerajaan melalui KPDNKK memperkenalkan model baharu berkonsepkan kepada 3 kategori model perniagaan, iaitu kerjasama strategik antara kerajaan dengan pengilang, pengeluar dan pengedar, operasi perniagaan kendalian pemilik serta penjenamaan bersama.

Perbadanan Nasional Berhad (PNS) menjalin usaha sama dengan 2 syarikat peruncitan dalam negara iaitu TMG dan KK Super Mart.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.