
Tertuduh, 45, didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian pengurus bank Syed Muhammad Danial Syed Syakir pada 2019, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun.
Hakim Mahkamah Tinggi, Julia Ibrahim, membuat keputusan itu selepas meneliti secara menyeluruh keterangan tertuduh, saksi pendakwaan dan pembelaan.
Hukuman penjara terhadap tertuduh berkuat kuasa bermula tarikh tangkapan pada 10 Ogos 2019.
Julia berkata, pihaknya perlu mengambil kira faktor rayuan seperti latar belakang tertuduh, kesalahan pertama, kerjasama semasa siasatan dan tindakan mangsa dalam kes itu bagi menentukan hukuman wajar.
“Pada masa sama, mahkamah perlu menekankan kepentingan awam dalam kes seperti ini yang menuntut hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran kepada umum.
“Sesungguhnya kejadian ini adalah tragedi yang impaknya terhadap semua pihak secara langsung atau tidak langsung bukan saja pada pihak mangsa, tetapi isteri tertuduh dan keluarganya,” katanya.
Terdahulu, peguam tertuduh, Wee Choo Keong, memohon anak guamnya dikenakan hukuman penjara maksimum enam tahun.
“Tidak adil dan tidak munasabah bagi mahkamah meletakkan kesalahan atas kematian mangsa kepada tertuduh semata-mata. Ia apabila tertuduh jelas tiada perancangan atau niat untuk menyebabkan kematian mangsa, sebaliknya kemalangan berlaku membabitkan kedua-dua pihak,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, memohon tertuduh dikenakan hukuman berat dan setimpal iaitu penjara antara 21 hingga 25 tahun.
“Kes ini memberi impak besar kepada masyarakat dan pernah tular suatu ketika dahulu. Hukuman berat wajar dikenakan kepada tertuduh untuk memberi pengajaran kepadanya dan masyarakat supaya kesilapan sama tidak berulang jika berhadapan situasi sukar di jalan raya,” katanya.
Yew sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh selepas dia terbabit dalam kejadian amuk di lebuh raya yang menyebabkan kematian mangsa, ketika itu berusia 29 tahun.
Pada Julai, tertuduh diperintah membela diri selepas Mahkamah Tinggi mendapati dia memulakan provokasi yang membawa kepada kematian mangsa di tempat kejadian.
Menurut hakim, Yew mengambil tindakan di luar haknya untuk mempertahankan diri dengan melanggar Syed Danial berulang kali, walaupun ancaman “dipatahkan” dan Syed Danial sedang melarikan diri.