Pindah lebih RM3 juta ke akaun sendiri, pengarah syarikat didakwa

Pindah lebih RM3 juta ke akaun sendiri, pengarah syarikat didakwa

Yee Ho Yong mengaku tidak bersalah pindah sejumlah wang itu tanpa kelulusan mesyuarat agung.

gavel
Tertuduh dibenar ikat jamin RM100,000 dan pasport diserahkan kepada mahkamah dengan sebutan semula kes pada 6 Ogos. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Seorang pengarah syarikat perkhidmatan perunding kewangan dan pelaburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memindahkan wang syarikat lebih RM3 juta dalam akaun bank miliknya tanpa kelulusan mesyuarat agung syarikat berkenaan, empat tahun lalu.

Yee Ho Yong, 32, didakwa sebagai pengarah syarikat Golden Summit Academy Sdn Bhd telah memindahkan wang RM3,149,000 ke dalam akaun Maybank miliknya, tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat itu untuk mendapatkan manfaat secara langsung kepada dirinya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di Sentul, antara 16 Feb 2020 dan 24 Dis 2022, mengikut Seksyen 218(1)(c) Akta Syarikat 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 218(2) akta sama.

Akta itu memperuntuk hukuman penjara maksimum penjara lima tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi menawarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Lim Chi Chau yang mewakili Yee memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 6 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.