RUU Perubahan Iklim tertangguh akibat kerja perunding teruk, kata bekas menteri

RUU Perubahan Iklim tertangguh akibat kerja perunding teruk, kata bekas menteri

Nik Nazmi Nik Ahmad dakwa kebergantungan terhadap perunding rencat kemajuan, sehingga kementerian dan AGC terpaksa ambil alih.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Walaupun tidak bantah sepenuhnya guna perunding, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kebergantungan berlebihan cetus tanggapan bahawa kerajaan tidak perlu fikir sendiri.
KUALA LUMPUR:
Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mendakwa kerja perunding yang dilantik pentadbiran terdahulu tidak memuaskan sehingga menyebabkan proses menggubal RUU Perubahan Iklim tertangguh lama.

Bekas menteri sumber asli dan kelestarian alam itu berkata, ketika beliau mengambil alih kementerian, kerja-kerja berkaitan perundangan itu hampir tidak bergerak, dengan satu-satunya langkah nyata setakat itu hanyalah pelantikan seorang perunding.

“Ini salah satu tragedi dalam tadbir urus – kita ambil perunding mahal, tapi hasil kerjanya teruk,” katanya ketika berucap pada persidangan anjuran IDEAS.

Nik Nazmi berkata, perunding terbabit kemudian mendakwa, mereka perlu melantik firma guaman yang mempunyai bekas penggubal dari Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menyiapkan RUU itu.

“Kita ada keseluruhan jentera kerajaan, tetapi kita asyik berpusing-pusing dan menjadikan orang tertentu kaya, ya tidak?

“Kita terpaksa laluinya berulang kali. Sehingga akhirnya, pasukan dalaman kementerian bersama AGC yang siapkan sebahagian besar kerja itu,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu.

Walaupun tidak membantah sepenuhnya penggunaan perunding, Nik Nazmi berkata, kebergantungan berlebihan terhadap mereka menimbulkan tanggapan bahawa kerajaan tidak perlu berfikir sendiri.

Beliau turut menyebut rundingan dengan NGO, kumpulan masyarakat sivil dan orang ramai mencabar, terutamanya disebabkan tekanan lobi daripada sektor perniagaan.

“Daripada pengalaman dua setengah tahun saya dalam kerajaan, saya belajar bahawa kita tidak boleh puaskan hati semua orang, dan kita tidak boleh buat keputusan yang tidak bermakna semata-mata untuk penuhi kehendak satu dua syarikat besar,” katanya.

RUU Perubahan Iklim didorong oleh komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris pada 2015, yang ditandatangani negara pada April 2016 dan diratifikasi pada November tahun sama.

Idea memperkenalkan undang-undang perubahan iklim mula dibangkitkan pada 2018 apabila Pakatan Harapan mula memerintah, tetapi usaha itu terbantut akibat perubahan politik.

Dua tahun lalu, Nik Nazmi mempertahankan kadar penggubalan RUU itu yang perlahan, dengan berkata beliau tidak mahu tergesa-gesa menggubal perundangan tersebut selepas dikritik warganet atas kelewatan berulang kali.

Pada Oktober lepas, pemangku menteri sumber asli dan kelestarian alam Johari Ghani berkata, penangguhan RUU itu akan memastikan semua pihak berkepentingan memahami sepenuhnya implikasi dan keperluan undang-undang tersebut sebelum ia dikuatkuasakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.