
Presiden Persatuan Haulier Malaysia (AMH) Soo Chee Yeong berkata, dalam sektor pengangkutan, waktu bekerja yang panjang dan tugas yang berat dari segi fizikal menyukarkan langkah membenarkan pekerja mengurangkan beban kerja secara beransur-ansur sebagai persediaan untuk bersara.
“Pekerja kami bekerja 10 hingga 12 jam sehari, kebanyakannya melakukan tiga perjalanan pergi dan balik. Jika beban kerja mereka dikurangkan, mereka mungkin tidak mampu memperoleh pendapatan yang mencukupi (untuk menyara hidup),” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, jika pemandu hanya membuat satu atau dua perjalanan pada awal hari, sukar untuk mencari pemandu lain untuk menyudahkan tugas pada hari tersebut.
Tambahan, katanya, peralatan pengangkutan memakan belanja yang besar, justeru jadual fleksibel untuk pemandu akan menyebabkan beberapa kenderaan tidak bergerak, yang boleh menyebabkan kerugian.
Soo berkata, pemandu dihantar menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun dan mereka yang dianggap tidak cukup sihat untuk memandu kenderaan berat perlu bersara serta-merta.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa pemandu-pemandu ini boleh diberikan tugas logistik bahagian belakang.
“Kami boleh menugaskan mereka menghantar lori dan peralatan ‘shunting’ untuk pembaikan dan penyelenggaraan, kerja yang lebih ringan dan biasanya hanya dilakukan pada waktu siang,” tambahnya.
Awal minggu ini, seorang felo di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, Calvin Cheng mencadangkan agar skim persaraan fleksibel diperkenalkan untuk mengurangkan beban pekerja dalam tempoh lima tahun sebelum mereka bersara.
Beliau berkata, model semasa yang mensyaratkan pekerja bersara pada usia tertentu menyukarkan mereka untuk mengimbangi keselamatan kewangan dengan kesejahteraan keseluruhan. Umur persaraan rasmi di Malaysia ialah 60 tahun.
Rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas kini membentuk 11.1% daripada populasi, dan nisbah itu dijangka meningkat kepada 15% pada 2030, menjadikan negara ini sebuah negara menua.
Bekas presiden Persatuan PKS Ding Hong Sing pula lebih terbuka kepada konsep persaraan berperingkat, tetapi beliau menegaskan ia lebih sesuai untuk pekerja kolar putih yang tidak menanggung beban kerja fizikal yang besar.
Ding berkata, pekerja boleh sahaja menjadi perunding atau penasihat, dengan hari bekerja lebih sedikit setiap minggu.
“Mereka mungkin dapat gaji yang lebih rendah, tetapi dengan kepakaran mereka, boleh jadi aset kepada syarikat,” tambahnya.
Ding berkata, pekerja-pekerja ini juga boleh menjadi perunding untuk syarikat yang lebih kecil.
“Ini akan membantu industri berkembang sambil memastikan mereka terus memperoleh pendapatan … situasi menang-menang,” tambahnya.