5 penyamun kedai emas ditembak mati

5 penyamun kedai emas ditembak mati

Polis berkata, 4 lelaki mati ditembak di tempat kejadian, manakala seorang lagi suspek ditembak ketika melarikan diri dengan sebuah kereta dan seorang lagi warga tempatan berjaya ditahan.

Unit forensik memeriksa lokasi 5 penyamun ditembak mati selepas merompak kedai emas di sebuah pasar raya di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Lima daripada 6 penjenayah bersenjatakan kapak, parang dan pistol yang menyamun kedai emas di sebuah pasar raya di Kuchai Lama di sini, hari ini, mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata seorang lagi penjenayah berjaya diberkas.

Katanya, 6 lelaki tempatan terbabit meluru masuk ke pasar raya berkenaan sebelum menyamun kedai emas di sana dalam kejadian kira-kira 4.30 petang.

Beliau berkata, sebaik keluar, suspek bertembung dengan sepasukan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, selepas menerima maklumat awam beberapa individu yang mencurigakan memakai topi keledar di dalam kereta di kawasan pasar raya.

“Berlaku insiden berbalas tembak dengan 4 lelaki mati ditembak di lokasi kejadian, manakala seorang lagi suspek yang cuba melarikan diri dengan sebuah kereta ditembak kira-kira 400m dari lokasi itu,” katanya di lokasi kejadian.

Mazlan berkata, kejadian itu turut mengakibatkan seorang anggota polis cedera terkena tembakan di lutut.

“Anggota polis yang cedera dilaporkan stabil dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Pihak polis turut merampas 2 pucuk pistol, sebilah parang dan kapak serta 2 kenderaan jenis Perodua Myvi dan Mercedes yang digunakan suspek.

“Sejumlah besar barang kemas yang disamun juga berjaya dirampas.”

Katanya, nilai barang kemas yang disamun serta jenis pistol yang digunakan masih dalam siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.