Pasangan pegawai imigresen disyaki guna hasil rasuah buka kedai emas ditahan

Pasangan pegawai imigresen disyaki guna hasil rasuah buka kedai emas ditahan

Suami isteri itu dipercayai menggunakan hasil rasuah kira-kira RM600,000 untuk membuka kedai emas di Pahang.

kedai emas
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya berkata suspek dipercayai berperanan mengatur kemasukan warga asing tanpa dokumen ke negara itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar kegiatan sepasang suami isteri pegawai Jabatan Imigresen yang disyaki menggunakan hasil rasuah kira-kira RM600,000 untuk membuka sebuah kedai emas di Pahang.

Hasil serbuan SPRM dalam Op Dygo di kedai emas terbabit juga menemui simpanan emas dianggarkan seberat tiga kilogram dengan nilai semasa kira-kira RM1.4 juta.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, suspek yang dipercayai berperanan mengatur kemasukan warga asing tanpa dokumen ke negara ini dipercayai menerima rasuah sejak 2020.

Katanya, pasangan itu menggunakan nama adik wanita terbabit dan anak mereka sebagai proksi untuk membuka kedai emas bnerkenaan.

“Suspek terlibat dalam tugasan program pemutihan yang bertujuan memberi peluang kepada majikan mendapatkan permit kerja sah bagi pekerja asing tanpa permit.

“Proses tersebut memerlukan majikan menghantar fail-fail pekerja warga asing berkenaan untuk dibuat semakan pertama oleh bahagian penguat kuasa.

“Setelah melepasi peringkat pertama tapisan, majikan yang mempunyai fail-fail warga asing perlu membawa fail berkenaan kepada suspek untuk menentukan kelengkapan dokumen sebelum memperoleh Akaun Penerimaan (AP),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bagi mempercepatkan proses itu daripada tujuh hari kepada tiga hari, majikan dipercayai perlu membayar RM700 bagi setiap warga asing.

“Bayaran rasuah tersebut diterima secara tunai serta diagihkan kepada pegawai lain yang menguruskan fail dan suspek menerima RM150 bagi setiap warga asing.

“Dalam tempoh empat tahun, suspek dipercayai telah mengumpul kira-kira RM900,000 yang digunakan untuk membuka kedai emas dan selebihnya membeli sebuah kereta mewah,” katanya.

Susulan penahanan itu, kedua-dua mereka direman lima hari sehingga 14 September ini selepas Mahkamah Majistret Ayer Keroh membenarkan permohonan SPRM.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.