Rompak di Hat Yai: Polis Thailand tahan warga emas dipercayai rakyat Malaysia

Rompak di Hat Yai: Polis Thailand tahan warga emas dipercayai rakyat Malaysia

Suspek berusia 61 tahun ditahan ketika dalam perjalanan ke rumah anaknya di Nonthaburi.

rompak kedai emas hatyai
Suspek dipercayai rakyat Malaysia merompak sebuah kedai emas di Hat Yai dan melarikan emas bernilai lebih kurang 9 juta baht (RM1.17 juta).
PETALING JAYA:
Polis Thailand hari ini menahan seorang lelaki warga emas dipercayai rakyat Malaysia disyaki terlibat kes rompakan kedai emas di Hat Yai.

Pemangku Ketua Polis Siasatan Bahagian Ke-6, Anusorn Thongsai, berkata suspek yang melarikan diri ke Bangkok ditahan ketika dalam perjalanan dipercayai ke rumah anaknya di Nonthaburi.

Katanya, sepanjang berada di Thailand, suspek berusia 61 tahun cuba menyamar menggunakan pelbagai identiti bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Siasatan awal mendapati suspek menaiki bas dari Hat Yai ke stesen bas Mochit di Bangkok sebelum cuba menaiki teksi ke rumah anaknya di Nonthaburi.

“Anggota polis berjaya menahan suspek kira-kira 6.30 petang waktu tempatan, bersama barang bukti berupa emas, sepucuk pistol dan beberapa butir peluru hidup,” katanya menurut Bernama.

Suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan akan dikenakan tindakan undang-undang di Thailand.

Siasatan mendapati, suspek bertindak bersendirian dengan menaiki motosikal untuk merompak sebuah kedai emas di Plaza Hat Yai sekitar 11.50 pagi semalam.

Menggunakan pistol, suspek berjaya melarikan emas bernilai lebih kurang 9 juta baht (RM1.17 juta).

Berikutan kejadian itu, polis Thailand mengeluarkan waran tangkap dan memperketat kawalan di semua pintu keluar sempadan bagi menghalang suspek melarikan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.