
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, siasatan kes tersebut hampir selesai.
“Kita telah merakam percakapan 12 individu bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Sabtu lepas, polis dilaporkan menerima maklumat orang awam berhubung samun bersenjata api di kedai emas tersebut, yang terletak dalam sebuah pasar raya, pada 4.56 petang.
Suspek yang disyaki menggunakan pistol melarikan tujuh dulang barang kemas dalam rak pameran kedai, dianggarkan bernilai RM2 juta. Dia kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta.
Dilaporkan pada Ahad, polis menahan seorang lelaki tempatan disyaki suspek di sekitar Bukit Beruntung, Hulu Selangor, dengan sejumlah barang kemas yang dilarikan ditemui semula.
Semalam, Hussein dilapor mengesahkan suspek kejadian itu adalah seorang anggota polis bantuan sebuah syarikat utiliti.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek berusia 32 tahun itu melakukan jenayah itu secara solo, menggunakan senjata api milik syarikat tempat dia bertugas, bertujuan untuk membayar hutang.