
Pengerusinya, Datuk Rashid Din berkata keputusan itu dibuat setelah mendengar penjelasan daripada Unit Operasi dan Unit Teknologi Maklumat (IT).
“Keputusan ini berdasarkan analisa hasil kiraan undi yang membuktikan semua data adalah selamat dan berjaya dimuat naik ke pelayan sistem (cloud) walaupun terdapat aplikasi e-undi pada 6 unit tablet disapu bersih oleh perisian ‘Prey Anti-Theft’.
“Perincian undi yang direkodkan dan analisa teknikal menunjukkan tiada undi yang tercicir dan keputusan pengundian tersebut sebenarnya boleh diterima pakai,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Rashid juga berkata keputusan pemilihan Julau akan dimuat naik dalam portal rasmi pemilihan parti di www.pemilihankeadilan2018.com, dalam masa terdekat.
Sabtu lalu, Rashid mengumumkan JPP menggantung keputusan pengundian di Julau, selepas 4 daripada 10 tablet yang digunakan di pusat mengundi bahagian itu digodam dengan perisian intip “Prey Anti-Theft”.
Sehubungan itu, seorang pegawai Unit IT dan JPP ditahan atas dakwaan terbabit dalam “serangan siber” berkenaan. Bagaimanapun, lelaki berusia 44 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis pada petang Ahad.
Hari ini, pencipta aplikasi Prey yang berpangkalan di Amerika Syarikat menafikan tuduhan aplikasinya menggodam proses pengundian di Julau, mengatakan aplikasi itu bertujuan untuk melindungi kehilangan data dari peranti komputer.