‘Kenapa pertikai sekarang?’ Zaliha persoal masa Rafizi bangkit isu vendor

‘Kenapa pertikai sekarang?’ Zaliha persoal masa Rafizi bangkit isu vendor

Pengerusi JPP itu tertanya-tanya mengapa perkara ini dipertikaikan hanya selepas pemilihan cabang parti selesai.

zaliha mustafa
Pengerusi JPP PKR Dr Zaliha Mustafa berkata, Rafizi Ramli ‘langsung tidak mempertikaikan’ pelantikan vendor ketika perkara itu dibincangkan pada mesyuarat MPP, yang turut dihadirinya.
PETALING JAYA:
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (PKR) Dr Zaliha Mustafa mempersoalkan masa Rafizi Ramli membangkitkan bahawa tiada perbincangan diadakan sebelum vendor baharu bagi sistem pengundian parti itu dilantik.

Zaliha berkata, dakwaan timbalan presiden PKR itu tidak berasas.

Katanya, Rafizi ‘langsung tidak mempertikaikan’ pelantikan vendor ketika perkara itu dibincangkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Jadi, kenapa pula sekarang ini, apabila kita dah pun selesai pemilihan cabang, nak dipertikai pulak tentang pelantikan vendor? Macam tak ‘sync’,” katanya dalam video yang dimuat naik di media sosial.

Perkara yang banyak dipertikaikan adalah pelantikan juruaudit, yang turut dibincangkan pada mesyuarat itu, tambahnya.

Komen Zaliha menyusuli kenyataan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh yang menyangkal dakwaan Rafizi.

Fuziah juga berkata, Rafizi tidak membantah keputusan menggunakan vendor baharu itu pada mesyuarat MPP yang dihadirinya.

“Isu vendor tidak pernah timbul dan (Rafizi) tidak pernah pertikai siapa vendor itu atau apa yang mereka buat,” katanya kepada FMT.

Rafizi membangkitkan isu pelantikan vendor itu sebulan selepas selesainya pemilihan cabang parti, yang menyaksikan beberapa sekutu utamanya kalah. Aplikasi yang sama akan digunakan di Kongres Nasional PKR pada hujung minggu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.