Tiada wakil pekerja ke ILC kerana MTUC tiada kepimpinan sah, jelas Kesuma

Tiada wakil pekerja ke ILC kerana MTUC tiada kepimpinan sah, jelas Kesuma

Kesuma berkata, dakwaan bahawa kerajaan sengaja sekat penyertaan wakil pekerja tidak berasas, mengelirukan dan berniat jahat.

HR ministry at putrajaya
Kesuma menyeru agar proses pemilihan semula MTUC diselesaikan segera agar Malaysia dapat menghantar delegasi lengkap ke ILC tahun depan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Tiada wakil pekerja dalam delegasi Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 (ILC) di Geneva, Switzerland adalah disebabkan ketiadaan barisan kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang sah, bukan kerana kerajaan sengaja menyekat penyertaan wakil pekerja.

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berkata, dakwaan sedemikian tidak berasas, mengelirukan dan berniat jahat.

Menurut kementerian itu, pada 21 Feb lepas, Mahkamah Rayuan mengarahkan MTUC melaksanakan pemilihan semula kepimpinan dalam tempoh 90 hari, yang akan diuruskan oleh Jawatankuasa Bersama Khas (JBK).

Katanya, pemilihan sepatutnya dijalankan Mei lepas namun ditangguhkan ke 10 Ogos ini, menyebabkan organisasi induk kesatuan sekerja terbesar di Malaysia itu tidak mempunyai kepimpinan yang sah untuk mewakili pekerja dalam mana-mana platform rasmi termasuk ILC.

Kesuma memaklumkan, JBK yang ditubuhkan khusus bagi mengendalikan proses pemilihan semula tiada mandat untuk membuat keputusan dasar mahupun mencalonkan wakil ke forum antarabangsa.

“Malah, pencalonan nama oleh JBK ke ILC adalah di luar bidang kuasa yang diberikan oleh mahkamah dan telah dibantah sendiri oleh beberapa ahli gabungan MTUC,” katanya, lapor Bernama.

“Kesuma menegaskan, pemilihan delegasi Malaysia ke ILC dibuat secara telus berpandukan garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa serta mendapat nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara mengenai status semasa MTUC.”

Dalam pada itu, Kesuma memaklumkan kerajaan kekal komited terhadap prinsip tripartisme dan mendukung hak penyertaan kesatuan sekerja yang sah dalam semua platform antarabangsa.

“Kesuma menyeru agar proses pemilihan semula MTUC diselesaikan segera demi menjaga maruah pergerakan kesatuan sekerja dan memastikan penyertaan lengkap Malaysia ke ILC tahun hadapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.