
Pengarah Eksekutif Datuk Shamsuddin Bardan, berkata kebanyakan lepasan universiti lebih cenderung mencari pekerjaan yang setaraf kelulusan mereka.
“Dibandingkan dengan mereka yang ada kelulusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) atau kemahiran vokasional, mereka sebenarnya mahu membuat apa sahaja kerja, tidak kira ia berkaitan dengan kelulusan mereka atau tidak.
“Jadi, sebab itu kita dapati akhirnya mereka yang banyak menganggur ini terdiri daripada mereka yang mempunyai kelulusan lebih tinggi, iaitu ijazah atau diploma,” katanya ketika dihubungi FMT.
Laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan baru-baru ini kadar pengangguran belia bumiputera berpendidikan tinggi paling tinggi, iaitu 4.6%, berbanding mereka yang berpendidikan sekolah menengah (4%), berpendidikan sekolah rendah (1.9%) dan tiada pendidikan sekolah formal (1.5%).
Kadar pengangguran belia Cina yang berkelulusan universiti ialah 2.9% berbanding mereka yang tidak mempunyai pendidikan formal 3%.
Graduan universiti berbangsa India pula mencatatkan kadar pengangguran 5.5%, manakala yang tidak mempunyai pendidikan formal 6.9%.
Shamsuddin berkata, sikap mendambakan gaji tinggi juga antara faktor kadar pengangguran di kalangan graduan bumiputera lebih tinggi berbanding lepasan sekolah menengah.
Katanya, tindakan itu hanya merugikan graduan kerana mereka membazir masa menunggu tawaran pekerjaan yang diidamkan.
“Sebenarnya, gaji permulaan itu bersifat sementara dan untuk graduan berkenaan membuktikan mereka merupakan satu aset kepada majikan.
“Mereka yang tidak mempunyai kelayakan (diploma atau ijazah) tidak meminta gaji yang terlalu tinggi, asalkan cukup untuk menampung kehidupan mereka atau tak cukup pun, mereka tahu itu cara untuk masuk ke alam pekerjaan.”