Isi jawatan kosong dengan graduan pendidikan menganggur dulu, kata kesatuan guru Sarawak

Isi jawatan kosong dengan graduan pendidikan menganggur dulu, kata kesatuan guru Sarawak

Ramai graduan pendidikan yang masih menganggur di negeri itu menghubungi kesatuan selepas dimaklumkan mengenai pengambilan guru secara 'one-off'.

Sebahagian besar kawasan di Sarawak masih tidak dapat diakses tanpa jalan yang sempurna menyebabkan negeri terbesar di Malaysia itu berdepan cabaran unik untuk menarik guru mengisi kekosongan jawatan.
PETALING JAYA:
Graduan ijazah pendidikan yang menganggur sepatutnya menjadi keutamaan dalam pengambilan untuk mengatasi masalah kekurangan guru, kata Kesatuan Guru Sarawak (STU).

Presiden STU, Adam Prakash Abdullah berkata, ramai graduan pendidikan yang masih menganggur di negeri itu menghubunginya selepas dimaklumkan mengenai program pengambilan guru secara “one-off”.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin minggu lalu mengumumkan kementeriannya akan menjalankan pengambilan khas itu melibatkan seramai 18,702 pendidik bulan depan bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di empat negeri, termasuk Sarawak.

“Saya rasa semua orang teruja. Kami mahu lihat kekosongan diisi segera dan saya menyeru agar semua (graduan) lulusan pendidikan yang berkelayakan memohon,” katanya kepada FMT sambil menambah bahawa Sarawak kekurangan sekitar 3,000 orang guru.

“Semua graduan yang menganggur perlu diambil bekerja. Itu perkara paling penting.”

Radzi pada Ahad berkata, pengambilan khas pegawai perkhidmatan pendidikan gred DG41 akan bermula 7 Julai bagi membolehkan guru ditempatkan di sekolah masing-masing secara berperingkat mulai Oktober.

Sabah, Selangor dan Johor adalah antara negeri lain yang terlibat dalam program itu.

Sebahagian besar kawasan di Sarawak masih tidak dapat diakses tanpa jalan yang sempurna menyebabkan negeri terbesar di Malaysia itu berdepan cabaran unik untuk menarik guru mengisi kekosongan jawatan.

Kata Radzi, antara cabaran utama dalam pengambilan guru termasuklah kekurangan calon daripada institusi pendidikan guru (IPG) dan ketidakpadanan pilihan mata pelajaran.

Namun aktivis Sarawak Umie Liau berkata, ramai graduan Sarawak lulusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), iaitu institusi latihan guru tertua di negara ini masih menganggur.

Umie, yang mengendalikan kelas Bahasa Inggeris secara percuma untuk murid sekolah rendah di bawah skim penempatan semula Bakun di Sungai Asap, Belaga, juga mendakwa graduan berkenaan “tidak dipanggil temuduga” walaupun telah tamat pengajian pada 2019.

“Mereka sengaja mendapatkan kelulusan dalam bidang pendidikan. Kenapa kerajaan tidak beri mereka pekerjaan mengajar?” soalnya.

“Graduan-graduan ini memerlukan dorongan dan kami juga perlu mendorong anak muda Sarawak yang lain untuk memasuki bidang pendidikan pada masa hadapan.

“Jika kerajaan kita tidak dapat menyediakan pekerjaan untuk graduan-graduan ini, saya tak rasa ada yang akan mengikuti kursus seperti ini pada masa akan datang. Jika ini berlaku, bagaimana Sarawak akan mengatasi masalah kekurangan guru?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.