
Wakil Orang Asli di Dewan Negara Senator Ajis Sitin berkata, kebanyakan mereka memilih untuk pulang ke kampung disebabkan tidak mendapat pendedahan menyeluruh untuk mendapatkan pekerjaan, selain berdepan cabaran hidup bekerja di bandar.
“Selepas tamat Tingkatan 5, anak-anak Orang Asli ini balik ke kampung halaman membantu ibu bapa menjalankan kerja-kerja tradisi.
“Setiap tahun tidak sampai 10% melanjutkan ke universiti, yang selebihnya akan balik kampung,” katanya.
“Sangat sedikit yang mengikuti Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) atau bekerja di bandar kerana mereka menganggap kerja di bandar berisiko, terutamanya bagi perempuan.”
Katanya, persepsi negatif timbul apabila Orang Asli dihantar belajar ke universiti dan akhirnya terpaksa bekerja di kampung halaman kerana tiada peluang pekerjaan, dan ini akan membantutkan pendidikan masyarakat itu.
“Ramai juga graduan Orang Asli yang menganggur. Betul, kerajaan ada taja mereka ke institusi pengajian tinggi awam atau swasta dalam dan luar negara, tetapi akhirnya apabila tamat pengajian, mereka dilepaskan (tanpa pekerjaan).
“Apabila mereka balik kerja di kampung, akan wujud persepsi bawa belajar tinggi-tinggi pun, akhirnya balik kerja di kampung juga. Ini akan membantutkan pendidikan Orang Asli kerana masyarakatnya tidak berminat untuk belajar,” katanya kepada FMT.
Ajis mencadangkan agar kerajaan menyediakan pendekatan secara menyeluruh kepada anak-anak Orang Asli, bermula dengan pendidikan sehingga ke alam pekerjaan, memandangkan masyarakat itu memerlukan perhatian yang lebih berbanding penduduk bandar yang terdedah lebih awal kepada persekitarannya.
Bekas ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) itu turut mencadangkan supaya kerajaan menempatkan mereka bekerja di jabatan itu, perkara yang pernah dibangkitkannya di Parlimen.
“Jakoa ada hampir seribu pekerjaan tetapi diisi oleh bukan Orang Asli. Kerajaan boleh memberikan kuota tertentu kepada Orang Asli berdasarkan peruntukan yang ada untuk perkhidmatan awam,” katanya.
“Ini selaras dengan Perkara 8(5)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai perizaban bagi Orang Asli, perkadaran yang munasabah daripada jawatan yang sesuai dalam perkhidmatan awam. Saya pernah utarakan perkara ini di Parlimen.”
Ajis berharap agar kerajaan dapat membantu anak-anak Orang Asli, sama ada lepasan SPM mahupun graduan, sehingga mereka dapat berdikari.
“Perlu diingat, masyarakat Orang Asli ada 18 suku kaum, bantuan atau bimbingan haruslah selaras dengan kemampuan masing-masing,” katanya.
“Kita harap kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim dapat memberi nafas baharu kepada masyarakat Orang Asli, termasuk membuat transformasi pada Jakoa, supaya menjadi jabatan yang lebih menghayati denyut nadi Orang Asli secara progresif.