
Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira) berkata program yang dianjurkan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) itu “memalukan” ketika “Malaysia Baharu” sepatutnya mengenepikan soal perkauman dan “perkara yang menimbulkan kebencian antara kaum”.
“Namun begitu, nampaknya masih wujud lagi sisa-sisa Malaysia lama yang ingin mewujudkan sikap curiga antara kaum di negara ini,” kata Timbalan Presiden Mira, S Gobi Krishnan.
“Sisa-sisa Malaysia lama ini harus kita nyahkan dengan segera sebelum ia menimbulkan kemudaratan dalam negara,” katanya.
Wacana tersebut akan diadakan 14 November ini dengan tema “Polemik kehadiran masyarakat India di Semenanjung Tanah Melayu: Migrasi atau Imigran?”, dan merupakan sebahagian daripada siri dialog dianjurkan Atma.
Empah ahli panel termasuk Datuk Ahmad Murad Merican dan Nasha Rodziadi Khaw dari Universiti Sains Malaysia (USM), Timbalan Pengarah Atma Zuliskandar Ramli dan penganalisis politik Azharuddin Mohamed Dali dari Universiti Malaya.
Ketika dihubungi, pihak UKM enggan mengulas lanjut.
Gobi mempersoalkan tujuan program itu, sambil menyifatkan tajuknya sebagai kontroversi.
Beliau juga mempersoalkan ketiadaan ahli panel mewakili kaum India.
Menurutnya, kerajaan termasuk Menteri Pendidikan Maszlee Malik perlu “menangani isu ini sebelum melarat”.
“Kita sudah merdeka lebih 60 tahun. Maka sepatutnya pemahaman antara kaum terutamanya mengenai kaum minoriti harus lebih baik,” katanya.
Gobi juga berkata beliau merancang membawa wakil masyarakat minoriti dari pelbagai kumpulan termasuk dari India Muslim, Sikh, Orang Asli, Siam, Baba Nyonya, campuran India-Cina dan lain-lain untuk hadir ke program tersebut.