Kaum India ‘kingmaker’ sebelum PRU, kemudian dilupa, kata Ramasamy

Kaum India ‘kingmaker’ sebelum PRU, kemudian dilupa, kata Ramasamy

Di luar musim pilihan raya, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat itu hampir tidak diberi perhatian, kata Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang.

Pengundi India hanya mendapat perhatian daripada ahli politik semasa musim pilihan raya, kata P Ramasamy. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengundi India hanya dianggap penting dari segi politik apabila pilihan raya tiba, tetapi diketepikan sebaik sahaja ia selesai, keluh Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang P Ramasamy.

Beliau berkata, orang India telah menjadi penting dan digelar “kingmaker” (penentu keputusan), terutama di kawasan pilihan raya di mana mereka boleh membuat perubahan.

Bagaimanapun, dalam keadaan biasa, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat itu hampir tidak diberi perhatian, katanya.

“Tiada fungsi memanggil masyarakat India ‘kingmaker’ apabila mereka hanya mendapat perhatian daripada ahli politik sebelum pilihan raya umum, dan dilupakan sehingga pilihan raya seterusnya pula,” kata Ramasamy, yang juga timbalan ketua menteri, dalam kenyataan.

Ramasamy berkata, halangan terbesar bagi pembangunan masyarakat itu adalah ketiadaan gelanggang yang sama rata.

Katanya, apa yang diperlukan masyarakat itu adalah perkauman berinstitusi dihapuskan, bukannya sekadar dipanggil “kingmaker”.

“Kadang kala membelanjakan beberapa juta (ringgit) tidak akan membantu masyarakat India. Amalan sebegitu hanya mengukuhkan kebergantungan mereka terhadap kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata, kunci buatnya untuk mengekalkan kerusi Tambun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ialah undi daripada masyarakat India, yang dianggapnya sebagai penentu keputusan di kawasan itu.

Faizal, yang menang di Tambun atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRU 2018, dijangka berdepan pertembungan banyak penjuru, termasuk melibatkan Pengerusi PH Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.