Lupakan saja PRN Sabah, MIC diberitahu

Lupakan saja PRN Sabah, MIC diberitahu

Penganalisis berkata MIC kurang daya tarikan politik walaupun di Semenanjung apatah lagi di Sabah.

Naib Presiden MIC T Murugiah yang juga ketua MIC Sabah berkata partinya mungkin bertanding di Sabah suatu hari nanti bagi mewakili komuniti India di negeri itu
PETALING JAYA:
Tiga penganalisis politik menepis dakwaan seorang pemimpin MIC, parti itu akan bertanding merebut kerusi DUN Sabah suatu hari nanti, dengan merujuk landskap politik negeri yang rumit dan jumlah pengundi India terhad.

James Chin dari University of Tasmania menegaskan, tiada kawasan pilihan raya di Sabah yang mempunyai peratusan pengundi India melebihi 5%.

“Komuniti India tidak signifikan dari segi politik. Halangan terbesar ialah kredibiliti; jika MIC bertanding, semua orang akan bertanya siapa yang cuba mereka wakili,” katanya kepada FMT.

Komposisi demografi kebanyakan kerusi di Sabah dicirikan oleh campuran kumpulan etnik, yang sebahagian besarnya terdiri daripada Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam dan Cina.

Menurut MyCensus 2020, kaum India hanya membentuk 0.2% populasi negeri itu.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara dan Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, MIC juga akan berdepan kesukaran untuk mengatasi skeptisisme sebagai parti Semenanjung.

“Sukar untuk mereka cari rakan kongsi. Rakan kongsi itu juga akan fikir dua kali kerana MIC dari Semenanjung,” kata Azmi, menyatakan MIC kekurangan daya tarikan politik walaupun di Semenanjung.

Merujuk pada dominasi parti tempatan, Lee berkata: “MIC Sabah berada dalam persekitaran politik yang sesak dengan parti tempatan.

“Ini menyukarkan mereka dapatkan kerusi boleh dimenangi tanpa timbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakan kongsi yang berpotensi,” katanya.

Beliau berkata, lebih realistik untuk memilih seorang wakil MIC bagi salah satu daripada enam Adun yang dilantik.

“Bagaimanapun, MIC Sabah perlu tunjuk ia sebuah parti ‘tempatan’, bukan versi ‘import’ dari Malaya,” katanya.

Penganalisis terbabit mengulas kenyataan Naib Presiden MIC T Murugiah, parti itu mungkin bertanding di Sabah suatu hari nanti.

Ketua MIC Sabah itu berkata, jika parti Semenanjung berasaskan kaum Cina boleh bertanding di negeri itu, maka MIC juga seharusnya dibenarkan berbuat demikian bagi mewakili komunitinya.

Beliau turut menyatakan, MIC boleh mempertimbangkan untuk ‘menyertai sesebuah parti’ bagi memastikan kebajikan dan keperluan masyarakat India di Sabah terpelihara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.