
Timbalan Presiden MIC, M Saravanan berkata komponen Barisan Nasional (BN) itu berasa disisihkan dan seperti tidak diperlukan dalam kerajaan perpaduan, lapor Utusan Malaysia.
Beliau berkata parti itu tidak diberikan sebarang jawatan dalam kerajaan, termasuk di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), walaupun mempunyai pemimpin politik kanan yang berpengalaman sepertinya dalam barisan kepimpinan.
Saravanan berkata ramai ahli MIC menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan perpaduan ketika mesyuarat peringkat bahagian yang baru selesai diadakan.
Apabila ditanya sama ada MIC sedang mempertimbangkan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN), beliau berkata: “Buat masa ini, saya tidak berani cakap ya atau tidak.”
Bekas menteri sumber manusia itu berkata rungutan MIC adalah berkenaan ketiadaan peranan dalam kerajaan walaupun parti itu berpengalaman dan merupakan antara parti yang mewakili komuniti India.
“Kalau ada pihak yang tidak mahu kami lagi, patutkah kami terus berada dalam hubungan ini? Buat masa ini, kami dilihat sebagai parti yang tidak dikehendaki dalam kerajaan perpaduan.
“Bila kita lihat, seseorang itu tidak perlukan kita, takkan kita perlu teruskan? (hubungan). Setakat ini, kita dilihat seperti parti yang tidak diinginkan untuk kerajaan perpaduan.
“Kita lihat tidak ada peranan di Jemaah Menteri, tidak ada peranan di GLC, tidak ada peranan di peringkat apa pun, jadi seolah-olah mereka tidak perlukan kita. Maka, dalam masa terdekat, MIC akan buat keputusan,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Ahli Parlimen Tapah selama empat penggal itu berkata mesyuarat MIC peringkat negeri akan diadakan pada Ogos dan September, manakala AGM pusat akan berlangsung pada Oktober.
Beliau turut menyatakan bahawa pemimpin Umno dalam Jemaah Menteri mewakili BN secara keseluruhan dan bukan sekadar parti mereka, namun tidak bersuara dalam isu-isu yang dekat di hati masyarakat India.
“Tetapi apabila ada isu-isu rumah ibadat, matrikulasi dan baru-baru ini, kes Zamri Vinoth dan sebagainya, saya tidak lihat wakil kami berada di sana seperti ada suara untuk membela nasib kami,” katanya.
Beliau berkata, sebab itu MIC wajar diberi jawatan dalam Jemaah Menteri.
Saravanan berkata MIC beberapa kali ditipu, termasuk apabila ada persetujuan parti itu akan diberi jawatan dalam Jemaah Menteri kerajaan perpaduan.
Beliau berkata inilah antara sebab MIC menarik balik sokongan kepada PN selepas PRU15 pada 2022 yang menyaksikan Parlimen tergantung.
“Kami diberitahu oleh pengerusi BN (Zahid Hamidi) bahawa perdana menteri bersetuju wakil MIC dalam jemaah menteri. Tetapi kami ditipu. Ada persetujuan ketika itu.
“Tetapi kita masih menerima dan menyokong kerajaan perpaduan demi kestabilan politik negara. Dalam hal ini, MIC tidak pentingkan diri walaupun kami ditipu. Tetapi, MIC telah membawa perkara ini kepada perdana menteri sendiri,” katanya.