
Penasihat undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Salawati Mat Basir, mengingatkan bahawa Malaysia memiliki Akta Hasutan untuk menangani hasutan, termasuk parti-parti politik yang menormalkan perbuatan menghina bangsa.
“Daripada nak perkenal akta-akta atau tambah hukuman, adalah lebih penting memastikan penguatkuasaan perlu ada, dan juga memberi kesedaran terhadap masyarakat yang termakan ‘isu rasis’,” katanya kepada FMT.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik UKM, Kartini Aboo Talib Khalid, memaklumkan bahawa Malaysia memiliki lebih 20 akta berkaitan keselamatan, jenayah dan Kanun Keseksaan, termasuk Akta Pencegahan Keganasan.
“Adakah dengan semakin banyak peraturan dan kawalan, maka masyarakat akan jadi lebih baik dan beradab?” katanya kepada FMT.
Semalam, Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa kerajaan supaya menggubal akta anti-diskriminasi kaum bagi menangani ucapan kebencian, sikap rasis, dan tindakan provokatif yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.
Gesaan ini berikutan kejadian seorang peniaga di Sepang enggan menjual jagung kepada pelanggan berketurunan India, serta menggunakan perkataan berunsur rasis.
Video memaparkan kejadian itu tular di media sosial, mengundang kemarahan rakyat pelbagai kaum.
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang, kelmarin dilapor berkata penjual jagung itu memohon maaf khasnya kepada masyarakat India dan berjanji tidak akan mengulanginya.
Kartini berkata kejadian itu bersifat terpencil dan boleh diurus dengan baik, maka tidak perlu ‘melatah’ sehingga mahu membuat undang-undang baharu.
Sebaliknya, beliau menyeru perhatian kepada usaha kerajaan dan pihak berkuasa untuk semua kaum.
“Hanya di Malaysia sahaja yang bersedia membina dan melaksana Malaysia Indian Blueprint pada 2018 untuk memperkasa kehidupan masyarakat India,” katanya.