
Presiden PIBGN, Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, ini disebabkan pendidikan awal sekolah rendah sepatutnya tidak terlalu awal ditekankan dengan peperiksaan awam.
“Keadaan semasa murid-murid terlalu berorientasikan peperiksaan akan mengalami tekanan dalam menghadapi penghidupan.
“Murid-murid hendaklah merasakan suasana persekolahan yang seronok dan membangunkan watak sejati, positif, mesra sosial dan keluarga,” katanya kepada FMT hari ini.
Mohamad berkata, walaupun tidak diadakan peperiksaan awam, satu kaedah yang bercorak penilaian berterusan di peringkat sekolah perlu dijalankan bagi memastikan keupayaan murid khususnya membabitkan 4M (membaca,menulis, mengira dan memikir).
Menurutnya, perkara itu juga seharusnya tidak dijalankan menerusi penekanan kepada murid sebaliknya keseronokan.
“Kaedah ini dapat menyuntik penyelarasan kaedah pentaksiran dalam darjah dan selaras melahirkan pendidikan holistik seperti dalam Pelan Pendidikan Malaysia semasa,” katanya.
Semalam, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengumumkan peperiksaan bagi murid tahun 1 hingga 3 akan dimansuh dan digantikan dengan sistem pentaksiran yang lebih objektif bermula tahun depan.
Pemansuhan itu bertujuan mengembalikan semangat dan prinsip pelaksanaan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Beliau berkata, PBS yang dilaksanakan sejak 2011, semakin tersasar daripada matlamat asal untuk menilai tahap pencapaiaan murid bukan berteraskan pendidikan.
Mengulas isu sama, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata keputusan dibuat oleh Maszlee merupakan tindak balas aduan orang ramai mengenai sistem pendidikan yang terlalu berorienstasikan peperiksaan.
“Kehadiran guru adalah untuk mengajar untuk peperiksaan berbanding mengajar murid-murid. Ada pelbagai cara penilaian selain daripada akademik,” katanya.