
Menurut Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), SOP yang dikemas kini perlu melangkaui mekanisme asas ‘lapor, siasat, hukum’ untuk merangkumi intervensi awal, perlindungan dan tindakan susulan berkesan.
Pengerusi PAGE, Noor Azimah Rahim, berkata SOP baharu mesti mentakrifkan dengan jelas maksud buli supaya tiada insiden boleh dianggap remeh, sebagai ‘sekadar gurauan’.
Katanya, perlu juga ada langkah keselamatan segera untuk mangsa dan tempoh mandatori untuk tindakan diambil, termasuk penglibatan ibu bapa.

Katanya, sokongan psikologi perlu diberikan kepada kedua-dua mangsa dan pembuli. Pada masa sama kes buli perlu direkod dan dimajukan kepada pihak berkuasa berkaitan.
“Jika aduan difailkan, pihak kepimpinan sekolah, sama ada pengetua atau guru disiplin, perlu rekodkan dalam sistem KPM dalam tempoh 24 jam,” katanya kepada FMT.
“Jika tiada tindakan atau susulan direkodkan dalam tujuh hari, ia harus dimajukan secara automatik kepada pejabat pendidikan daerah atau jabatan pendidikan negeri.”
Noor Azimah berkata, tindakan disiplin mesti diambil terhadap pendidik yang mengabaikan atau memperlekeh aduan, bermula amaran rasmi diikuti penggantungan, dan penamatan perkhidmatan bagi kes lebih serius.
“Jika seorang pelajar alami kecederaan serius atau kematian, dan bukti menunjukkan aduan terdahulu diabaikan oleh pendidik, tuduhan kecuaian jenayah perlu dipertimbangkan.”
Ketua Pengarah Pendidikan, Azam Ahmad, berkata SOP kementerian mengenai keselamatan sekolah dan pengendalian isu disiplin termasuk buli akan dikaji semula berikutan kematian pelajar Tingkatan 1 Zara Qairina Mahathir bulan lalu.
KPM juga sedang mengubah suai portal Aduan Buli, dengan sistem akan dipermudah dan pengadu diberi pilihan tidak mendedahkan identiti.
Azam juga berkata, guru serta pegawai pendidikan pada peringkat daerah atau negeri yang tidak mengambil tindakan terhadap aduan buli akan berdepan tindakan, namun tidak memperincikannya.
Sementara itu, Pengerusi Perikatan untuk Komuniti Selamat, Lee Lam Thye, menyambut baik langkah kementerian mengkaji semula SOP, yang menurutnya jelas tidak lagi berkesan ketika ini.

Bekas Ahli Parlimen DAP berkata, pendidik harus menjalani latihan mandatori mengenai cara mengenal pasti, mengendalikan dan mencegah kes buli, bermula peringkat prasekolah.
Lee juga menyarankan sekolah yang mempunyai sumber mencukupi memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua tempat sebagai langkah pencegahan dan untuk membantu siasatan kes buli.
“Jika semua ini gagal, maka kerajaan perlu perkenal undang-undang khusus untuk menangani buli di sekolah,” katanya.
“Namun, perundangan haruslah jadi pilihan terakhir. Apa yang perlu dilakukan adalah memastikan kementerian ambil langkah praktikal, realistik dan boleh dilaksanakan.”
Noor Azimah bersetuju cadangan Lee supaya CCTV dipasang di semua kawasan awam dan umum di sekolah, menyarankan lokasi berisiko tinggi diberi keutamaan, mengambil kira kekangan kewangan.
Beliau turut berkata, portal Aduan Buli mesti mempunyai komunikasi dua hala yang sulit supaya pihak berkuasa boleh menyiasat tanpa mendedahkan identiti mangsa.
Katanya, laporan juga harus disemak oleh unit bawah kementerian, bukan pihak sekolah yang terlibat.
“Pelajar harus diberikan nombor ID kes supaya dapat pantau kemajuan dan pastikan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.
“Perlu ada pelbagai saluran untuk buat laporan seperti laman web, aplikasi mudah alih, SMS atau WhatsApp. Ini bagi memastikan pelajar yang tiada internet di rumah masih boleh buat aduan.”
Secara berasingan, Persatuan Perlindungan Kanak-kanak Kuala Lumpur berkata, kerajaan perlu terlebih dahulu mengakui buli sering bermula atau dibiarkan berakar umbi di rumah. Ini menekankan peranan ibu bapa dan penjaga dalam membentuk perwatakan anak.
“Kita mesti ajar anak-anak tentang empati, kerendahan hati dan menghormati orang lain sejak awal.

“Kita perlu pastikan mereka tidak membesar dengan rasa sombong, keistimewaan tanpa batasan, atau terasing dari segi emosi,” kata Pengerusi Tengku Asra Jehan Azlan.
Tengku Asra berkata, SOP sekolah mesti mempunyai akibat yang jelas untuk pembuli.
Beliau juga mencadangkan sekolah membenarkan pelajar menjalani ‘pemeriksaan kesihatan mental secara sulit’ dengan kaunselor terlatih.
“Setiap laporan buli mesti didokumenkan secara rasmi dan disiasat. Tiada rintihan bantuan daripada kanak-kanak patut diabaikan atau diperlekeh.
“Sekolah perlu libatkan agensi perlindungan kanak-kanak dalam kes serius bagi memastikan kesaksamaan dan (adanya) tindakan susulan,” katanya.