Pendidikan akhirnya dianggap pelaburan jangka panjang bawah Belanjawan 2026

Pendidikan akhirnya dianggap pelaburan jangka panjang bawah Belanjawan 2026

Pengerusi PAGE Noor Azimah Abdul Rahim berkata perubahan berkekalan kini bergantung sama ada kerajaan boleh menunaikan janjinya.

Belanjawan 2026 yang dibentangkan 10 Okt lalu memperuntukkan RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan berbanding RM64.1 bilion tahun ini.
PETALING JAYA:
Pendidikan akhirnya dianggap pelaburan jangka panjang bawah Belanjawan 2026 dan bukannya perbelanjaan tahunan, kata Kumpulan Ibu Bapa Bertindak untuk Pendidikan (PAGE).

Pengerusi PAGE, Noor Azimah Abdul Rahim, ketika mengalu-alukan langkah itu sebagai tanda kemajuan berkata perubahan berkekalan kini bergantung sama ada kerajaan dapat menunaikan janjinya untuk mengukuhkan kemudahan luar bandar dan sokongan guru.

“Ini usaha yang perlu dan bermanfaat, kita akan lihat penambahbaikan dengan susulan konsisten,” katanya kepada FMT.

“Walaupun ia mungkin tidak menyelesaikan sepenuhnya isu kemudahan dan kesesakan murid di sekolah luar bandar serta separa luar bandar dalam jangka pendek, sumber lebih kukuh, pelaksanaan lebih pantas dan pengawasan lebih ketat akhirnya akan membawa penambahbaikan berterusan.”

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan itu Jumaat lalu berkata, kerajaan memperuntukkan RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan tahun depan berbanding RM64.1 bilion tahun ini.

Hampir RM2 bilion akan digunakan untuk menaik taraf lebih 520 sekolah usang, manakala RM115 juta diperuntukkan untuk latihan perguruan yang terikat dengan kurikulum 2027 dan pendidikan STEM.

Noor Azimah Abdul Rahim
Noor Azimah Abdul Rahim.

Noor Azimah menyifatkan peruntukan latihan itu “langkah positif dan perlu” supaya guru bersedia bagi kurikulum baharu untuk memperkukuh literasi, numerasi serta mengurangkan beban kandungan bilik darjah.

Tetapi, beliau memberi amaran ia mungkin tidak mencukupi untuk menyokong dan mengekalkan guru di sekolah kekurangan sumber.

“Gandingkan latihan dengan lebih banyak insentif, sokongan infrastruktur, perumahan, integrasi komuniti dan laluan kerjaya lebih jelas, maka anda mungkin dapat mengekalkan guru di tempat yang paling memerlukan mereka.”

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut mengalu-alukan peruntukan RM115 juta untuk latihan perguruan dan menggesa KPM memastikan ia digunakan secara berkesan supaya guru memahami sepenuhnya kurikulum baharu.

Katanya, ia perlu disusuli sesi libat urus ibu bapa untuk membina kepercayaan dan pemahaman terhadap pelaksanaan kurikulum.

“Belanjawan 2026 langkah ke arah yang betul, tetapi kemajuan sebenar bergantung kepada pelaksanaan konsisten, ketelusan dan sokongan adil untuk guru,” katanya dalam kenyataan.

Noor Azimah berkata, fasa pembaharuan seterusnya perlu memfokuskan pemerkasaan sekolah dalam membuat keputusan dan memberi kepercayaan kepada guru untuk memimpin dari bawah.

“Memperkasakan guru dan pengetua, memberi kepercayaan kepada sekolah dengan lebih autonomi serta memberi ibu bapa suara lebih kuat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.