Harga, lokasi punca ‘rumah mampu milik’ tidak terjual, kata pakar

Harga, lokasi punca ‘rumah mampu milik’ tidak terjual, kata pakar

Dalam keadaan ekonomi sekarang, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu membeli rumah berharga lebih RM100,000.

Takrif rumah mampu milik berubah mengikut peningkatan kos hidup, sedangkan pada masa sama, pendapatan kekal tidak berubah.
PETALING JAYA:
Seorang pakar hartanah berkata, kerajaan perlu mengkaji semula harga rumah mampu milik berikutan laporan yang menyebut rumah dalam kategori itu bernilai kira-kira RM22.5 bilion tidak terjual.

Ernest Cheong berkata, dalam keadaan ekonomi sekarang, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu membeli rumah berharga lebih RM100,000.

Beliau merujuk angka daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menunjukkan 90% pencarum mendapat gaji RM5,000 atau lebih rendah sebulan.

“Dengan gaji sebanyak itu, seseorang hanya mampu membayar RM500 sebulan sebagai ansuran pinjaman rumah bernilai RM100,000.

Justeru katanya, harga munasabah bagi kategori rumah “mampu milik” ialah RM100,000, bukannya RM250,000 seunit.

Beliau berkata, takrif rumah mampu milik berubah mengikut peningkatan kos hidup, sedangkan pada masa sama, pendapatan kekal tidak berubah.

Bagi mengatasi masalah rumah tidak terjual, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin baru-baru ini berkata, kerajaan akan meminta bank melonggarkan syarat pinjaman perumahan.

Chong bagaimanapun mengakui bahawa sebarang usaha untuk mengurangkan harga rumah mampu milik kepada RM100,00 tidak akan diterima baik oleh pemaju.

Dalam pada itu, bekas presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) Siva Shanker berkata, lokasi tidak tepat adalah punca rumah tidak terjual.

Beliau berkata, banyak rumah mampu milik dibina jauh dari bandar tanpa kemudahan dan khidmat pengangkutan.

“Rumah mampu milik memang menyasarkan kumpulan B40. Jadi bila rumah tidak dibina di kawasan strategik, sukar bagi mereka untuk ke tempat kerja.

“Saya tahu kita tidak boleh terlalu memilih tentang rumah mampu milik, tetapi kerajaan juga perlu mengambil kira keperluan mereka.

Beliau berkata, pemaju harus membina “hartanah yang sesuai di lokasi yang tepat”.

Siva berkata, kajian lebih terperinci perlu dibuat berkaitan sektor yang menghadapi masalah rumah tidak terjual.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.