Remaja maut ketika berlumba haram

Remaja maut ketika berlumba haram

Polis berkata, seorang lagi penunggang motosikal parah apabila motosikal yang ditunggang laju dari Bagan Ajam menghala Perai, hilang kawalan sebelum melanggar tembok pembahagi jalan dan tiang lampu.

Empat remaja lelaki berusia 14 hingga 18 tahun yang leka berlumba haram dan melakukan pelbagai aksi berbahaya di Lingkaran Luar Butterworth turut ditahan polis.
BUTTERWORTH:
Seorang remaja lelaki maut, manakala seorang lagi lelaki cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan dipercayai ketika sedang berlumba haram di KM5.4 Lingkaran Luar Butterworth (BORR), awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian 2.25 pagi itu, pekerja kilang berusia 18 tahun, Khairul Haizam Muhamad Hanif maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di pinggang, pinggul dan badan.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila kedua-dua motosikal yang ditunggang laju dari Bagan Ajam menghala Perai, hilang kawalan sebelum melanggar tembok pembahagi jalan serta tiang lampu.

“Khairul Haizam meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi penunggang motosikal berusia 19 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian badan serta tangan,” katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat, manakala penunggang motosikal parah itu dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kemalangan itu disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.”

Sementara itu, Noorzainy berkata, polis menahan 4 remaja lelaki berusia 14 hingga 18 tahun yang sedang leka berlumba haram dan melakukan pelbagai aksi berbahaya di BORR, malam tadi.

“Dalam operasi 10 malam itu, sekumpulan penunggang motosikal berlumba haram dan membuat pelbagai aksi berbahaya dari Tol Bagan Ajam menghala ke Perai, kemudian membuat pusingan ke Plaza Tol Bagan Ajam (arah Sungai Dua) 2 kali.

“Tindakan pantas polis yang mengepung kawasan itu berjaya menahan 4 remaja berkenaan dan mereka disiasat menurut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.”

Katanya, operasi di kawasan BORR yang menjadi tumpuan mat rempit, khasnya pada malam minggu diteruskan dari semasa ke semasa kerana tindakan mereka mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.