Ambil gambar kenderaan ubah suai tularkan, gesa ketua polis Kedah

Ambil gambar kenderaan ubah suai tularkan, gesa ketua polis Kedah

Fisol Salleh berkata, ia bagi mengekang kes lumba haram dan aktiviti samseng jalanan.

Fisol Salleh
Ketua Polis Kedah, Fisol Salleh, berkata penglibatan semua pihak diperlukan untuk menangani kes lumba haram dan aktiviti samseng jalanan yang sudah lama berlaku. (Gambar Bernama)
SUNGAI PETANI:
Polis meminta masyarakat Kedah mengambil gambar dan menularkan di media sosial kenderaan diubah suai sebagai usaha mengekang kes lumba haram serta aktiviti samseng jalanan atau ‘mat rempit’.

Ketua Polis Kedah, Fisol Salleh, berkata aktiviti tidak bermoral itu sudah lama berlaku dan penglibatan semua pihak diperlukan untuk menanganinya.

“Saya nak warga Kedah, sila ambil gambar jika nampak kenderaan sama ada kereta atau motosikal, malah basikal juga…jika motosikal diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi, tayar ‘sotong’, brek dibuang, karburetor dinaik taraf untuk merempit, ambil gambar…viralkan.

“Jika kenderaan ini berada di jalan raya…ambil gambar…polis akan mengesan mereka sehingga ke rumah,” katanya di sini.

Beliau berkata, arahan penguatkuasaan telah dikeluarkan di semua IPD negeri itu, khususnya bahagian trafik dan jabatan lain berkaitan.

Menurutnya, kerjasama semua pihak khususnya masyarakat sangat penting bagi memastikan aktiviti itu ditangani, sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini kepada pengguna jalan raya lain.

Sementara itu, beliau berkata, 330 item rampasan termasuk 242 ekzos, 77 lengan ayun, lima karburetor serta enam barang lain yang disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dilupuskan hari ini berdasarkan arahan pelupusan mengikut Seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah.

“Keseluruhan bahan rampasan tahun ini berjumlah 1,412 item, namun pada 11 Julai lepas, 302 item telah dilupuskan selepas mahkamah menjatuhkan hukuman dan mengeluarkan arahan pelupusan.”

Bagi kes narkotik pula, Fisol berkata, bahan rampasan berjumlah RM2.9 juta membabitkan 2,826 kertas siasatan akan dilupuskan esok oleh sebuah syarikat dilantik di Negeri Sembilan.

Menurutnya, pelupusan barang rampasan bagi kes trafik dan narkotik itu bagi tempoh 2013 hingga 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.