‘Kenaikan kecil’ denda takkan cegah kegiatan Mat Rempit, kata Guan Eng

‘Kenaikan kecil’ denda takkan cegah kegiatan Mat Rempit, kata Guan Eng

Pengerusi DAP itu turut meminta menteri pengangkutan menjelaskan mengapa hukuman ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian dua kali kanda lebih berat.

Pada masa ini, individu yang ditangkap kerana terbabit dalam perlumbaan haram boleh didenda hanya hingga RM300. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP Lim Guan Eng membidas Kementerian Pengangkutan atas “kenaikan kecil” denda bagi Mat Rempit, dengan berkata ia tidak sepadan dengan denda bagi pemanduan dalam keadaan mabuk.

Lim mendakwa, kenaikan kecil denda ini tidak akan mencegah perlumbaan haram.

Beliau juga meminta Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menjelaskan mengapa hukuman ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian adalah dua kali ganda hukuman terhadap Mat Rempit yang juga menyebabkan kematian.

“Menambah penalti sekecil itu untuk Mat Rempit tidak akan memberi kesan pencegahan untuk menghentikan bahaya yang ditimbulkan oleh pelumba haram terhadap keselamatan orang awam melainkan penalti yang sama dikenakan seperti bagi pemanduan mabuk,” katanya dalam kenyataan.

Lim turut mengkritik cadangan kementerian supaya penanggung insurans mengenakan caj premium lebih tinggi kepada penunggang motosikal yang ditangkap kerana terbabit dalam perlumbaan haram.

Langkah ini mungkin tidak berkesan, katanya, kerana ramai Mat Rempit tidak mempunyai insurans.

Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Isham Ishak berkata, kerajaan mencadangkan hukuman lebih berat ke atas Mat Rempit mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam usaha mengekang kegiatan mereka.

Ini termasuk menaikkan denda minimum dan maksimum masing-masing kepada RM5,000 dan RM10,000, bagi mereka yang ditangkap kerana terbabit dalam perlumbaan haram.

Pada masa ini, pesalah boleh didenda hanya hingga RM300.

Isham berkata, kementerian juga sedang mengkaji langkah agar syarikat insurans mengenakan premium lebih tinggi bagi penunggang motosikal yang ditahan kerana berlumba haram.

Cadangan pindaan itu, yang akan dibentangkan di Parlimen tahun depan, juga bertujuan untuk menghukum ibu bapa yang membenarkan anak bawah usia 18 tahun menyertai perlumbaan haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.