
Di tempat sedemikian, misalnya di Jabatan Perdana Menteri dan bangunan Parlimen, prosedur operasi standard (SOP) menghendaki polis mengambil kenyataan pihak yang menyerahkan memorandum.
“Tidak ada tangkapan. Prosedurnya ialah selepas selesai setiap protes atau perhimpunan, satu laporan akan dibuat. Justeru, penganjur akan dipanggil untuk direkodkan kenyataan mereka.
“Ini bukan intimidasi,” katanya kepada FMT.
Beliau memberi respons terhadap dakwaan intimidasi polis yang dibuat oleh kumpulan hak asasi dalam satu sidang media semalam.
Mereka juga mempersoalkan sama ada kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengubah pendiriannya mempertahankan hak untuk berhimpun secara aman selepas mengambil alih Putrajaya.
S Arutchelvam dari PSM berkata beliau dipanggil polis hanya kerana menyampaikan satu memorandum kepada pemimpin PH.
Bagaimanapun Azis, yang merupakan Ahli Parlimen Sepanggar memberi contoh satu kumpulan yang berarak ke Parlimen awal minggu ini untuk memprotes Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.
“Tan Sri (Muhyiddin Yassin) menerima memorandum kumpulan itu,” katanya, merujuk kepada menteri dalam negeri. “Tak timbul isu.”
“Tentulah kami tidak boleh membenarkan semua satu kumpulan masuk ke Parlimen. Ia kawasan keselamatan tinggi.”
Beliau juga mempertahankan amalan mengambil kenyataan, dan menyifatkannya sebagai “sebahagian daripada kerja” polis.
“Mereka hanya mengambil nota tentang penganjur perhimpunan. Mereka tidak bertindak kasar.”
Azis juga menjawab dakwaan bahawa intimidasi polis sekarang lebih buruk daripada zaman pemerintahan Barisan Nasional dengan berkata polis kini lebih bekerjasama.
Kata beliau, dalam isu perhimpunan, mana-mana pihak yang mahu menganjurkannya hanya perlu memenuhi syarat seperti memberi notis kepada polis.
“Ini bagi membolehkan mereka mengawal keadaan,” katanya. “Kita tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku. Kehadiran polis boleh menghindarkannya.”
“Polis diarahkan memberi kerjasama apabila perhimpunan sedemikian diadakan.”