2 sekolah di Kajang, Gombak ditutup akibat jangkitan beguk

2 sekolah di Kajang, Gombak ditutup akibat jangkitan beguk

Kementerian Kesihatan berkata, sebuah sekolah di Kajang ditutup sehingga 9 November ini, manakala sebuah sekolah di Gombak ditutup sehingga 6 November ini untuk memutuskan rangkaian jangkitan beguk.

Gambar Bernama
PETALING JAYA:
Kerajaan mengarahkan 2 sekolah di Kajang dan Gombak ditutup sehingga bulan depan akibat kejadian kluster beguk (mumps).

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan hari ini berkata, sekolah Kajang itu ditutup sejak Selasa lalu sehingga 9 November ini untuk memutuskan rangkaian jangkitan beguk, manakala sebuah sekolah di Gombak pula ditutup mulai kelmarin sehingga 6 November ini, selepas laporan diterima pada 16 Oktober lalu.

“Tindakan kawalan dan pencegahan telah dijalankan, termasuk pengasingan pelajar dan pendidikan kesihatan sejak kejadian kluster beguk di kalangan pelajar di sebuah sekolah Kajang dilaporkan pada 14 Ogos 2018.

“Namun begitu, masih berlaku penularan jangkitan akibat pergaulan pelajar yang berterusan, walaupun arahan pengasingan kes telah diberikan.

“Semua pelajar yang terlibat dari kedua-dua sekolah ini berada dalam keadaan stabil dan telah mendapatkan rawatan.”

Kementerian Kesihatan berkata, 75 kluster beguk dilaporkan di seluruh negara sehingga 20 Oktober lalu berbanding 64 kluster bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, 78.7% atau 59 daripada 75 kluster itu dilaporkan berlaku di sekolah kerana jangkitan beguk sukar dikesan di peringkat awal dan pergaulan pelajar memudahkan penyebaran jangkitan itu.

Kementerian itu berkata, penyakit beguk disebabkan jangkitan virus Paramyxovirus dan pesakit akan mengalami simptom demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan bengkak serta sakit di kelenjar air liur.

“Jangkitan boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan air liur serta melalui sentuhan objek yang tercemar dengannya.

“Pesakit biasanya akan sembuh sepenuhnya selepas 2 hingga 3 minggu. Komplikasi beguk seperti jangkitan testis, telinga, otak dan ovari sangat jarang berlaku.

“Imunisasi beguk di Malaysia bermula sejak 2002 dan ia terdapat dalam vaksin 3 serangkai Measles-Mumps-Rubella (MMR).”

Kementerian Kesihatan menasihatkan pelajar yang mempunyai gejala beguk supaya tidak ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada pelajar lain.

“Orang ramai yang mengalami gejala dan tanda-tanda beguk pula diminta mendapatkan nasihat doktor dan sentiasa menjaga kebersihan diri serta mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul bagi mengelakkan penularan penyakit ini.”

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.